PEMILIHAN konsep kediaman yang betul cukup penting kerana ia menelan belanja yang besar.
Selain itu, pilihan sesuatu konsep juga perlu disesuaikan dengan keluasan ruang.
Konsep Japandi yang merujuk kepada gabungan hiasan dalaman kediaman di Jepun dan Scandinavia dilihat semakin popular di negara ini.
Estetika konsep Japandi banyak bermain dengan rona-rona natural seperti putih dan coklat, selain nampak kemas dengan penggunaan perabot minimalis.
Bagi pasangan suami isteri yang mahu dikenali sebagai Husna dan Ilham, konsep tersebut menjadi pilihan untuk diterjemahkan pada kediaman jenis apartmen milik mereka.
Ujar Husna, dia banyak mengambil inspirasi daripada internet dan turut mencipta ‘mood board’ bagi mendapat gambaran hiasan dalaman yang dimahukan.
“Saya mencipta mood board bagi ruang tamu kediaman ini. Selepas berpindah masuk, saya melakukan sedikit pengubahsuaian bagi memastikan ia sesuai dengan kemasan lantai yang kami pilih,” katanya.
Kongsi ibu kepada seorang cahaya mata itu lagi, dia juga berdepan cabaran memilih rona yang dimahukan buat kediamannya.
Ujarnya, mereka betul-betul inginkan warna yang paling sesuai dengan konsep Japandi yang dipilih.
“Saya mahukan rona natural yang sedikit muted pada kediaman, namun kurang pasti warna yang mana paling sesuai.
“Sebelum membuat keputusan, saya membeli contoh cat dalam kuantiti sedikit untuk mencubanya pada dinding kediaman terlebih dahulu,” katanya.
Selepas berjaya memilih warna dinding, Husna memadankannya dengan sofa rona kelabu lembut untuk diletakkan pada ruang tamu kediaman bagi mewujudkan elemen cozy.
Bagi langsir kediaman pula, rona begige menjadi pilihan yang kemudiannya disesuaikan dengan hamparan permaidani dengan berwarna hampir sama.
Bagi menyerlahkan elemen Japandi pada ruangan itu, kabinet televisyen rona kayu menjadi pilihan.
Tema Japandi juga diserlahkan menerusi penggunaan lampu kayu yang menyerupai sebuah tanglung.
Bagi Husna, biarpun ringkas dan minimalis, namun lampu tersebut cukup menyerlahkan elemen Japandi yang sangat disukainya.
Penggunaan pokok-pokok hijau pelbagai saiz yang disesuaikan dengan ruang juga menjadi tarikan pada kediaman, sekali gus mencipta elemen semula jadi.
Menjengah ke ruangan makan, Husna dan Ilham memilih meja kayu panjang yang dipadankan dengan kerusi kayu bagi mencipta kesenadaan.
Dinding ruangan makan itu pula dipasangkan dengan vertical panel yang menghasilkan dinding bertekstur ringkas dan cantik.
“Saya amat menyukai ruangan ini kerana warna gelap pada meja makan tampak sempurna apabila dipadankan dengan dinding rona natural,” ujar Husna.
Tambah Husna lagi, kebanyakan barangan di rumahnya dibeli secara beransur-ansur mengikut keperluan semasa.
“Bagi permaidani pada ruangan makan, saya menggunakan permaidani bersaiz kecil.
“Namun, saya merancang untuk mendapatkan permaidani bersaiz besar kelak yang lebih sesuai dengan ruangan ini.
“Bagi barangan rumah, kami cuba melengkapkannya secara beransur-ansur sehingga berjaya menterjemahkan konsep sebenar,” kata Husna.