KOTA BHARU – Kerajaan mengenal pasti sebuah parti Orang Asli yang bergerak dalam menyampaikan dakyah politik yang mendakwa pentadbiran negara ketika ini tidak menjaga kepentingan masyarakat berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti tersebut sudah memasuki kawasan penempatan Orang Asli terutamanya di Negeri Sembilan dan Gua Musang, Kelantan dalam menyebarkan dakyah berkenaan.
“Saya tahu parti itu ditaja oleh seteru politik kita. Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) telah melakukan yang terbaik untuk pembangunan Orang Asli dan sebagainya.
“Jangan pernah rosakkan inspirasi Orang Asli untuk menerima kemajuan,” katanya pada sidanh akhbar selepas Majlis Pelancaran Jentera Parti-Parti Komponen Kerajaan Perpaduan Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), Parlimen Kota Bharu di Pejabat UMNO Kelantan, di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, parti tersebut tidak akan menjadi tunggangan kepada kumpulan yang menaja mereka.
Media sebelum ini melaporkan, masyarakat Orang Asli di negara ini akan berpecah belah dengan penubuhan parti politik baharu yang mewakili komuniti itu.
Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd. Nor berkata, beliau difahamkan sebuah parti politik baharu untuk masyarakat Orang Asli telah diluluskan penubuhannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) baru-baru ini.
Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata, sudah tentu parti politik itu mahu mensasarkan keahlian dalam kalangan masyarakat Orang Asli di negara ini yang hanya berjumlah kira-kira 217,000 orang.
“Bagi saya (penubuhan parti politik baharu) ini adalah tidak sihat kerana ia akan menyebabkan Orang Asli berpecah-belah.
“Selama ini, kira-kira 90 peratus masyarakat Orang Asli menyokong Barisan Nasional (BN) dan menikmati pelbagai kemajuan dan pembangunan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE