fbpx

Kanak-kanak hilang ketika mandi di Teluk Senangin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LOKASI di pantai Teluk Senangin, Segari, di mana seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dilaporkan hilang ketika sedang mandi hari ini.

LUMUT – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dilaporkan hilang ketika mandi di pantai peranginan Teluk Senangin, Segari, dekat sini, tengah hari tadi.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari ketika kanak-kanak itu, Mohammad Fariz Irfan Abdul Halim mandi bersama adik perempuan berusia tujuh tahun dan ditemani seorang kakaknya yang berusia 19 tahun.

Setakat pukul 8 malam ini, murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Tanjong Rambutan, Ipoh, itu masih belum ditemui.

Sementara itu, ibu kanak-kanak itu, Biduri Hamzah, 48, berkata mereka sekeluarga dari Chemor, dekat Ipoh, menaiki dua kenderaan tiba di pantai tersebut kira-kira pukul 10 pagi.

Beliau memaklumkan, mereka kemudian menjamah hidangan yang disediakan sebelum anak lelaki tunggalnya itu bersama adik dan seorang kakaknya pergi mandi di pantai tersebut.

Jelas Biduri, suaminya, Abdul Halim Mohamed Ramli, 44, pula pergi memancing di kawasan batu di hujung pantai tersebut manakala beliau yang sakit kaki bersama ahli keluarga lain berehat di dalam pondok yang disediakan di situ.

“Jika hendak diikutkan, Mohammad Fariz Irfan dan adiknya hanya bermain di gigi air dan bukannya mandi sehingga ke dalam laut dan saya pun sudah berpesan dengan seorang lagi anak saya berusia 19 tahun jangan terlepas pandang mereka berdua.

“Tetapi, entah macam mana terlepas pandang juga dan tahu-tahu sudah hilang,” jelasnya yang kemudian menelefon suaminya memberitahu kejadian itu.

Terangnya, suami beliau kemudian mencari anak ketiga daripada empat beradik itu di seluruh pantai termasuk bertanyakan pengunjung lain jika ternampak kelibat anaknya, malangnya tidak ditemui sebelum menelefon talian kecemasan 999.

Menurut beliau, sepatutnya mereka pulang semula ke Chemor petang tadi tetapi disebabkan kehilangan mangsa, mereka akan berada di situ sehingga ditemui.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI