PERTENGAHAN 90-an dan milenia merupakan era emas industri penerbitan tempatan di mana banyak majalah dan buku pelbagai genre diterbitkan, tidak terkecuali majalah berkaitan dunia memancing.
Sebut saja nama majalah seperti Pancing, Sirip, Rod & Line (sekadar menyebut beberapa nama), pastinya kebanyakan kaki pancing mengetahui majalah-majalah tersebut. Ketika itu akses kepada info berkaitan dunia memancing amat terhad sebelum wujudnya internet.
Hanya dengan pembacaan dari majalah, pemancing di Malaysia mendapatkan info berkaitan teknik pancingan, ikatan knot, lokasi memancing dan sebagainya. Tidak terkecuali penulis sendiri.
Baru-baru ini penulis berkesempatan bertemu dengan salah seorang yang boleh dikatakan ‘otai’ atau orang lama dalam penulisan majalah berkaitan memancing, Shahnizam Sahari atau lebih dikenali dalam kalangan peminat tempatan dengan nama Jimoque Shah.
Ini bukanlah pertemuan pertama penulis bersama Jimoque. Pertama kali kami bersua ketika penulis menemu ramah Alip Rapala Oz untuk kisah toman rekod dunia IGFA, kebetulan ketika itu Jimoque hadir sama.
Ketika pertemuan ini, Jimoque baru beberapa hari pulang dari ekspedisi memburu kelah Long Gie, terletak di kabupaten Berau, Kalimantan Timur.
Menurut lelaki berasal dari Bentong, Pahang ini, beliau bukanlah membesar dengan minat memancing seperti kebanyakan pemancing.
Pendedahan awalnya adalah ketika masih bergelar pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang seni bina apabila teman serumah kerap memancing ketika cuti semester, dengan membawa pulang pelbagai jenis ikan seperti keli, pacu dan sebagainya.
“Keinginan untuk mengetahui tentang keseronokan memancing membuatkan saya turut cuba untuk memancing, namun ‘feel’ masih belum sampai ketika itu,” ujar Jimoque.
Namun, semuanya berubah ketika di alam pekerjaan. Majikannya yang juga seorang ahli Persatuan Memancing Malaysia (PeMM) menghadiahkan Jimoque set joran mengilat.
“Kebetulan, setiap tahun bapa saya juga akan menganjurkan percutian hari keluarga di Tasik Kenyir dan ikan yang pertama dinaikkan saya ialah sebarau,” ujarnya.
Dari situ, Jimoque mula menyertai forum-forum di laman sesawang untuk mencari maklumat berkaitan memancing terutama teknik mengilat.
Pada tahun 2008, Jimoque mula menulis secara sambilan di majalah Pancing. Antara kenangan manisnya adalah apabila dia berjaya menjadi cover page majalah tersebut ekoran berjaya menaikkan siakap bersaiz mega di Tasik Kenyir pada tahun 2013.
Kata orang, rezeki tidak salah alamat apabila kemudian beliau dilamar menjadi salah seorang pro-staff satu jenama barangan pancing terkenal berpusat di utara tanah air.
Menjadi sebahagian daripada jenama itu membawa Jimoque mengembara ke beberapa destinasi yang menjadi idaman para pemancing seperti Maldives, Indonesia dan beberapa lagi tempat.
Antara spesies sasaran Jimoque ialah kerapu, belida, kelah, toman, sebarau dan lain-lain.
“Boleh dikatakan hampir setiap minggu ketika itu saya akan menyertai trip bersama jenama tersebut,” katanya.
Pada tahun 2012, Jimoque melepaskan peranannya sebagai pro-staff jenama itu dek tuntutan kerjanya sebagai arkitek yang memerlukan kehadirannya di lapangan.
Bercerita perkembangan terkini, di sebalik kesibukan sebagai seorang arkitek, Jimoque juga aktif dalam membangunkan jenama peralatan memancingnya, Rentaka yang diambil sempena nama sejenis meriam di alam Melayu.
Dengan slogan Redefined Fishing, menurut Jimoque, idea untuk menghasilkan joran Adikara di bawah Rentaka bermula ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) lalu kerana Malaysia kekurangan joran sesuai dengan game tempatan.
Penghasilan joran Adikara adalah kerana mengikut pengalaman terdahulu, apabila menguji dan menggunakan pelbagai joran dari jenama luar, kebanyakannya tidak menepati cita rasa beliau secara peribadi sebagai seorang pemancing.
“Jika sebelum ini kebanyakan joran mengilat dikuasai jenama-jenama antarabangsa, Jepun khususnya, dijual dengan harga yang agak tinggi.
“Dari situ timbul idea untuk menghasilkan joran yang direka mengikut acuan dan cita rasa tempatan, bersesuaian cita rasa Malaysia,” tambah Jimoque.
Jenama Rentaka juga mula mendapat tempat dalam kalangan peminat teknik mengilat dalam dan luar negara apabila dua daripada empat rekod dunia IGFA toman di Malaysia menggunakan joran keluaran Rentaka.
Antara nama besar dalam arena pancing tempatan yang menggunakan joran Adikara adalah seperti Nankairel, Alip Rapala Oz dan Norieman Aiman.
Buat masa ini, joran Adikara dipasarkan di Malaysia dan Brunei, dan dalam perancangan memasuki pasaran Indonesia pada tahun 2024.
Selain joran, Jimoque juga aktif menghasilkan pelbagai jenis gewang, antaranya Bodo-bodo jr. yang dikhaskan untuk memburu sebarau dan ikan raja. Terbaharu, Jimoque sedang dalam fasa untuk menguji dua jenis joran prototaip dalam segmen jigging dan mengilat dengan menyasarkan pengguna daripada kelas pertengahan.