fbpx

Gudang mercun di Pekan Mundok meletup, gegaran sehingga Pasir Mas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kawasan kampung di Pekan Mundok, Thailand selepas sebuah gudang mercun meletup hari ini. FOTO IHSAN FACEBOOK AMRAN RAHMAN

PASIR MAS – Penduduk di Kampung Bukit Lata di sini dikejutkan dengan bunyi letupan seperti bom selepas sebuah gudang mercun di Pekan Mundok, Thailand terbakar dan meletup hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, siling sebuah rumah di Kampung Bukit Lata yang terletak di seberang Sungai Golok itu runtuh akibat gegaran yang berlaku selama 10 saat.

Pemilik rumah tersebut, Nor Ayunie Amran, 37, yang sedang berpantang selepas melahirkan anak dapat merasai gegaran akibat daripada letupan dari kawasan seberang Sungai Golok itu.

Katanya, selepas terdengar letupan itu, sebahagian siling rumahnya runtuh sebelum dia dan suami membawa empat anak terus keluar dari rumah.

“Kami sekeluarga memang panik apabila berlaku gegaran di rumah dan melihat kepulan asap di udara diselangi dengan letupan kecil di Mundok.

“Ramai yang mengatakan bahawa sebuah gudang mercun di situ meletup. Keadaan itu menyebabkan siling rumah runtuh manakala cermin rumah pula rosak,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.

Nor Ayunie memberitahu, kejadian itu nyaris mencederakan anak bongsunya yang berusia 23 hari apabila serpihan siling yang pecah jatuh terkena badannya sedang tidur atas katil.

Sementara itu, letupan terbabit turut meruntuhkan siling 10 buah rumah penduduk di Kampung Bukit Lata dan surau di kampung tersebut serta turut dirasai di beberapa kampung sekitar Rantau Panjang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI