fbpx

21 kilang ais termasuk 10 tidak berlesen dikenakan tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUANTAN – Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil serius isu ais kiub ‘haram’ termasuk ais kiub daripada kilang tidak berdaftar dengan melakukan penguatkuasan berterusan yang menyaksikan 21 kilang telah dikenakan tindakan termasuk 10 kilang tidak berlesen sepanjang 2022 hingga Jun tahun ini.

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM, Ts Norrani Eksan berkata, pada tahun lalu sahaja sebanyak 17 kilang ais telah diambil tindakan termasuk sembilan yang tidak berlesen melalui 155 pemeriksaan dijalankan.

“Bagi tempoh Januari hingga Jun 2023, sebanyak 18 pemeriksaan kilang ais telah dijalankan dan empat kilang ais telah diambil tindakan penguatkuasaan termasuk satu yang didapati tidak berlesen.

“Sepanjang 2022 hingga Jun 2023 sebanyak 993 sampel ais bagi tujuan pemantauan telah diambil dan sebanyak 80 sampel atau pun lapan peratus didapati melanggar,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Berita berkaitan: Ais kiub kilang haram diragui tercemar, ancam kesihatan

Baru-baru ini Kosmo! melaporkan kebimbangan rakyat Malaysia terhadap wujudkan ais kiub ‘haram’ daripada kilang tidak berdaftar yang boleh mengundang risiko terhadap kesihatan.

Ia ekoran masih wujud kilang-kilang ais yang tidak berdaftar dengan pihak berkuasa beroperasi di seluruh negara terutama Lembah Klang tanpa mengikut piawaian kebersihan dan berselindung di sebalik bangunan kedai.

Susulan itu juga pengguna melahirkan rasa bimbang apabila ada antara mereka tidak lagi menggunakan ais kiub selepas mengalami sakit tekak dan batuk apabila minum di kedai-kedai makan.

Berita berkaitan: Peniaga pun tak tahu bekalan ais selamat atau tidak

Dalam pada itu Norrani menasihatkan pengguna agar membeli ais daripada kilang yang telah dilesenkan dengan mendapatkan maklumat melalui laman sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) di http://fsq.moh.gov.my.

“Sekiranya pengguna dan media mempunyai maklumat kilang ais yang beroperasi dalam keadaan yang kotor, mereka diminta membuat laporan berserta maklumat yang lebih terperinci termasuk lokasi dan nama kilang berkenaan kepada KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq.

“Ini dapat membantu siasatan dijalankan bagi memastikan kilang tersebut mengikut standard yang ditetapkan dan dapat menjamin keselamatan pengguna,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI