fbpx

[VIDEO] Suami berpaut pada pintu, bumbung rumah hilang dibawa angin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AISHAH menunjukkan bumbung dapur luar rumahnya yang hilang diterbangkan belalai darat pagi tadi di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka.

ALOR GAJAH – Kira-kira 30 buah rumah di Kampung Balik Batu dan Kampung Pasir Gembur di Tanjung Bidara di sini mengalami kerosakan teruk pada bahagian bumbung akibat dilanda belalai darat pagi tadi.

Menurut seorang penduduk, Aishah Abdul Ghani, 56, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.50 pagi apabila satu pusaran angin tiba-tiba muncul dan menerbangkan bumbung bahagian luar dapur rumahnya serta beberapa kediaman lain.

“Ketika itu saya tengah melipat kain baju, tiba-tiba sahaja cuaca bertukar hujan renyai dan meminta suami, Abdul rahman Daud, 63, untuk membantu mengangkat pakaian disidai di bahagian belakang rumah.

“Apabila suami sampai sahaja di pintu dapur, satu pusaran angin datang dan menerbangkan semua bumbung di belakang manakala suami berpaut kuat pada pintu jeriji,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Kampung Balik Batu, di sini.

NURUL Nabila (kiri) menunjukkan bahagian bumbung rumah yang diterbangkan belalai darat dalam kejadian pagi tadi.

Ujarnya, ketika kejadian dia hanya mampu menjerit takbir sekuat hati apabila melihat wayar elektrik yang tercabut hampir menyambar pintu jeriji yang dipaut suaminya.

“Syukur alhamdulillah kami selamat dan tidak cedera, hanya mengalami kerugian kerosakan bumbung sahaja,” katanya.

Sementara itu, Nurul Nabila Mohamad, 20, memberitahu, kakaknya Nur Syazlina, 22, yang hamil lima bulan terperangkap di dalam bilik air kira-kira lima minit kerana pintu telah ditolak angin kuat, manakala dia cuba berlindung di dalam bilik.

“Saya dengar kakak jerit meminta tolong buka pintu, tetapi saya seperti tergamam di dalam bilik dan nampak bumbung rumah diterbangkan angin.

“Tidak lama kemudian angin itu menuju ke rumah sebelah dan saya bersama kakak terus menyelamatkan diri ke kedai emak di atas bukit berhampiran rumah,” katanya.

Tinjauan Kosmo! di lokasi turut mendapati kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di beberapa buah rumah yang terjejas.

Dalam pada itu, Pegawai Pertahanan Awam Unit Masjid Tanah (UMT), Leftenan (PA) Shahrul Riza Saiful Bahry ketika dihubungi berkata, maklumat berhubung kejadian telah diterima pada pukul 9 pagi dan sepasukan tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dikejarkan ke lokasi bagi memberi bantuan.

“Setakat bancian awal, sebanyak 10 rumah di Kampung Balik Balik Batu dan lima lagi di Kampung Pasir Gembur mengalami kerosakan pada bumbung.

“Anggota APM telah memberi bantuan dalam kerja-kerja membersihkan sisa bumbung yang tersangkut di rumah penduduk,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI