BEIJING, China – Kawasan pelancongan ‘Silk Road’ di China mendapat perhatian di media sosial selepas beberapa ekor unta yang digunakan sebagai tunggangan pelancong tidak dapat berdiri dan kesakitan apabila dipaksa berjalan di atas padang pasir.
Portal berita South China Morning Post melaporkan, kejadian yang dirakam di Gunung Mingsha dekat wilayah Guangsu itu tular awal bulan ini.
Ia mencetuskan kebimbangan orang ramai yang mendakwa haiwan itu terlalu teruk bekerja untuk menyediakan tunggangan kepada pelancong.
Selepas aktiviti itu ditangguhkan selama sehari pada 18 Julai lalu, netizen membuat jenaka bahawa unta-unta itu ‘mogok’.
“Unta adalah alat untuk mencari wang. Tolong jaga dan sayanginya. Mereka juga makhluk hidup,” komen seorang netizen.
“Cuaca sangat panas dan unta mungkin diserang strok haba. Tolong berbuat baik kepada haiwan itu,” komen netizen lain. – Agensi