fbpx

Tiga individu, syarikat didenda lebih setengah juta jual kasut Nike, Adidas palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sun Haixia (tengah) dijatuhi hukuman denda oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas kesalahan menjual kasut jenama Nike dan Adidas palsu empat tahun lalu.

IPOH – Tiga individu dan sebuah syarikat didenda RM607,880 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan memiliki dan menjual 4,342 pasang kasut jenama Nike dan Adidas palsu, empat tahun lalu.

Hakim Norashima Khalid memutuskan demikian terhadap Yap Kian Seng, 62, Yap Yin Keat, 51, dan Sun Haixia, 40, serta Syarikat Enghenda Sdn. Bhd.

Dalam keputusannya, Norashima mendenda dua pengarah syarikat, Kian Seng dan Sun Haixia serta pengurus syarikat, Yin Keat masing-masing RM130,260 manakala syarikat itu pula didenda RM217,100.

Mahkamah turut memerintahkan setiap individu yang didakwa sebagai orang kena saman (OKS) dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk penangguhan pembayaran denda sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan memberikan ikat jamin RM15,000 bagi setiap tertuduh.

Mengikut pertuduhan, mereka didapati ada dalam milikan untuk pembekalan apa-apa barang-barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan bagi selipar dan kasut berjenama Adidas dan Nike keseluruhannya berjumlah 4,342.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Hala Perusahaan Kledang Utara 4, Kawasan Perindustrian Menglembu pada pukul 11.10 pagi, 17 Mei 2019.

Pertuduhan terhadap ketiga-tiga individu dan syarikat dikemukakan mengikut Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 8(2)(A) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan denda sehingga RM15,000 bagi setiap barang yang diletakkan dengan perihal dagangan palsu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhammad Ridzuan Abd. Rahim manakala kesemua OKS diwakili peguam, Mohd. Asri Osman dan Mohd. Fitri Asmuni. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI