DI Malaysia, kanser pankreas merupakan antara penyebab kepada kadar kematian paling tinggi.
Dianggarkan dua daripada 100,000 individu yang menghidap kanser tersebut sepanjang hidup mereka.
Ia mungkin tidak lazim seperti kanser kolon, payudara atau paru-paru, tetapi kanser pankreas memberi prognosis yang tidak baik kerana kebiasaannya ia lambat dikesan.
Perunding Pakar Bedah Hepatopankreatobiliari (HPB) di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), Prof. Dr. Yoong Boon Koon berkata, satu-satunya rawatan yang disarankan untuk masalah tersebut adalah menjalankan pembedahan.
Ujarnya, ia untuk membuang sel-sel kanser apabila dikesan awal, sebelum bertukar menjadi barah.
Menurutnya, kaedah rawatan tersebut biasanya akan disusuli dengan kemoterapi.
“Jika kanser terletak pada ekor dan badan pankreas, maka pembuangan ekor pankreas, limpa dan tisu limpa di kawasan sekelilingnya menjadi rawatan pilihan.
“Bagaimanapun, jika kanser ditemui di kepala pankreas, pembedahan kompleks yang dikenali sebagai pancreaticoduodenectomy atau prosedur Whipple perlu dilakukan bagi membuang kepala pankreas, duodenum, saluran hempedu dan pundi hempedu,” katanya.
Tambahnya, prosedur Whipple yang kompleks biasanya dilakukan secara tradisional sebagai pembedahan terbuka.
Ia memakan masa antara lima hingga enam jam serta memerlukan kepakaran yang tinggi.
Namun kini dengan bantuan robot pembedahan seperti ‘da Vinci Xi’, pembedahan yang rumit boleh dilakukan dengan pendekatan invasif minimum melalui beberapa potongan kecil bersaiz lubang kunci.
Dalam pada itu, Dr. Boon Koon menjelaskan, antara tanda-tanda kanser pankreas yang paling umum adalah jaundis atau keadaan yang menyebabkan kulit dan bahagian mata putih menjadi kuning.
Menurutnya, antara simptom lain adalah usus tersumbat, hilang selera makan dan susut berat badan serta tidak selesa atau sakit pada abdomen.
“Malangnya, simptom-simptom ini biasanya lewat dikesan dan rawatan kuratif tidak lagi dapat dijalankan pada diagnosis.
“Bagi penyakit yang dikesan pada peringkat awal melalui ujian saringan iaitu apabila terdapat peningkatan antigen karbohidrat CA19-9 dalam ujian darah atau ketumbuhan pada pankreas yang dapat dilihat menerusi ultrabunyi, pembuangan tumor secara pembedahan adalah satu-satunya cara untuk merawatnya,” jelasnya.
Tambahnya, pesakit yang dikesan dengan tumor prakanser menunjukkan prognosis terbaik dan biasanya hanya dengan pembedahan mampu menyembuhkan penyakit tersebut.
Selain itu, pilihan rawatan bagi kanser yang masih berada di bahagian pankreas iaitu tahap satu hingga tiga adalah kaedah pembedahan diikuti dengan rawatan kemoterapi.
Bagi kanser yang telah merebak ke organ-organ lain iaitu tahap empat pula perlu dirawat dengan cara kemoterapi paliatif.
Oleh itu, mereka yang mengalami simptom-simptom tersebut harus mendapatkan nasihat perubatan secepat mungkin.
Sementara itu Dr. Boon Koon menjelaskan, pilihan pembedahan invasif minimum ini hanya sesuai untuk pesakit di peringkat awal kanser atau keadaan prakanser.
“Kebanyakan pesakit, kecuali mereka yang mempunyai fungsi paru-paru atau jantung yang lemah dan mengalami masalah kesihatan secara umum adalah lebih sesuai menjalani prosedur Whipple secara robotik.
“Bagaimanapun, pesakit yang pernah melakukan beberapa pembedahan di bahagian abdomen boleh menyebabkan prosedur ini menjadi lebih mencabar,” terangnya.
Namun begitu, pembedahan dengan bantuan robotik ini mempunyai banyak faedah.
Misalnya, hanya potongan kecil diperlukan berbanding pembedahan konvensional.
Ini kerana dengan ketangkasan lengan robotik membolehkan ia berfungsi lebih baik dalam ruang yang dalam dan sempit serta sukar diakses menggunakan tangan manusia.
Di samping itu, kejelasan imej kamera yang dikawal robotik juga membuatkan anatomi badan dapat dilihat dengan lebih jelas, sekali gus mampu mengelakkan sebarang kecederaan semasa prosedur.
Ini secara tidak langsung membolehkan pemulihan pesakit menjadi lebih cepat dan mampu discaj awal kerana luka yang kecil serta kurangnya gangguan fisiologi.
Pesakit juga mengalami kurang kesakitan dan risiko jangkitan berkurangan dengan komplikasi yang lebih rendah.
Konklusinya, penggunaan robot dalam pembedahan menawarkan kadar kejayaan yang lebih tinggi apabila pemilihan kes dilakukan dengan betul.
Sekiranya berlaku kesukaran untuk meneruskan prosedur robotik, pakar bedah mempunyai pilihan untuk menukarnya kepada pembedahan terbuka. Sesungguhnya, pembedahan robotik telah mengubah landskap perubatan masa kini.