PUTRAJAYA – Pihak pendakwaan masih menunggu arahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung status representasi yang dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya membatalkan rayuan dalam kes 40 tuduhan rasuah berhubung Visa Luar Negara (VLN).
Rayuan pendakwaan itu adalah keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang melepas dan membebaskan Ahmad Zahid daripada 40 tuduhan tersebut pada September tahun lalu.
Menurut peguam Aiman Abdul Rahman yang mewakili Ahmad Zahid ketika dihubungi hari ini berkata, pihak pembelaan memasukkan representasi berhubung status rayuan pendakwaan dan setakat ini pihaknya masih belum menerima arahan lanjut.
“Mereka (pendakwaan) memerlukan lebih masa dan Mahkamah Rayuan menetapkan pada 18 September ini bagi pengurusan kes,” katanya selepas prosiding pengurusan rayuan berkenaan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Muhammad Noor Firdaus Rosli.
Dalam prosiding secara dalam talian itu turut hadir ialah Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob dan Zander Lim Wai Keong.
Dalam petisyen rayuan yang dikemukakan itu, pendakwaan menyenaraikan 14 alasan mengapa Mahkamah Rayuan perlu membatalkan pembebasan Ahmad Zahid itu dan mengarahkannya untuk membela diri atas pertuduhan berkenaan.
Pada 23 September tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd. Yazid Mustafa memutuskan supaya Ahmad Zahid dilepas dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan utama dan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Hakim Mohd. Yazid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap Ahmad Zahid, selepas menimbangkan semua bukti dan keterangan secara keseluruhan.
Dengan itu, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid.
Mengikut pertuduhan utama, Ahmad Zahid, 70, didakwa atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SGD$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB), untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri.
Suapan itu bagi menyambung kontrak syarikat tersebut sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak bagi membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Ahmad Zahid juga didakwa atas tujuh lagi pertuduhan iaitu memperoleh untuk dirinya SGD$1,150,000, RM3.125 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights, Kajang pada Oktober 2014 dan Mac 2018. – KOSMO! ONLINE