ROM, ITALI – Kebakaran hutan marak di sekurang-kurangnya sembilan negara rantau Mediterranean sejak Selasa lalu, dengan api merebak di Croatia, Itali dan Portugal ketika beribu-ribu anggota bomba di Eropah serta Afrika Utara sukar mengawal kebakaran.
Akhbar The Guardian melaporkan, situasi menjadi lebih buruk akibat suhu panas dan kering serta angin kuat.
Di Algeria, sekurang-kurangnya 34 orang maut ketika 8,000 anggota bomba ‘bertarung’ dengan api marak di bahagian utara yang kering. Kebakaran hutan merebak di 15 wilayah di Algeria dan memaksa lebih 1,500 orang berpindah.
Pejabat meterologi melaporkan, suhu di beberapa kawasan di Algeria diramal mencecah 50 darjah Celsius.
Lebih 300 penduduk dipindahkan dari perkampungan tepi pantai, Melloula, manakala anggota bomba berusaha memadam api di tiga kawasan iaitu Bizerte, Siliana dan Beja.
Kebakaran turut berlaku di kawasan hutan Latakia, barat laut Syria, di mana helikopter digunakan untuk memadamkan api.
“Kebakaran hutan yang luas di kawasan luar bandar di utara Latakia masih belum dapat dikawal sehingga kini,” kata agensi berita North Press.
Sementara itu, Itali dibadai ribut di utara, manakala kebakaran hutan di Sicily mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh orang Selasa lalu.
Penduduk kota Milan melaporkan hujan lebat serta hujan batu mengakibatkan banyak pokok tumbang dan kereta rosak.
Di selatan Itali pula, gelombang haba berterusan dengan suhu 47.6 Celsius direkodkan di bandar Catania, Sicily.
“Kita mengalami antara hari paling sukar dengan ribut dan hujan batu di utara serta haba ekstrem dan kebakaran hutan melanda tengah serta selatan Itali. Pergolakan iklim yang melanda negara ini memerlukan rakyat mengubah sikap,” kata Menteri Perlindungan Awam, Nello Musumeci.
Jabatan Bomba Itali berkata, pihaknya berjaya mengawal hampir 1,400 kebakaran hutan antara Ahad hingga Selasa lalu temasuk 650 kebakaran di Sicily dan 390 lagi di Calabria.
Dalam pada itu, Greece menjadi negara paling teruk terjejas akibat kebakaran hutan pada musim panas kali ini dengan pihak berkuasa memindahkan lebih 20,000 orang. Ia termasuk penduduk setempat dan pelancong di Pulau Rhodes.
Di Perancis, hampir 100 anggota bomba bergelut mengawal kebakaran hutan di kawasan Cagnes-sur-Mer dan Villeneuve-Loubet, dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Nice.
Di Croatia, angin kuat mengakibatkan pesawat bomba gagal berlepas ketika cuba melakukan operasi memadam api.
Angin kuat membawa bencana itu ke negara jirannya, Montenegro, di mana dua orang dilaporkan lemas akibat terhidu asap dan beberapa mangsa lagi cedera, kata pihak berkuasa pelabuhan bandar Ulcinj dan Petrovac.
Di Portugal pula, beratus-ratus anggota bomba dikerah untuk memadam kebakaran dekat sebuah destinasi pelancongan popular, Cascais, namun usaha tersebut sukar kerana angin bertiup kencang.
Akhir sekali di Turkiye, sebuah hospital dikosongkan dan berpuluh-puluh penduduk dipindahkan dari kediaman masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga di bandar tepi pantai, Kemer.
Pihak bomba dilaporkan bergelut pada hari ketiga kebakaran hutan Selasa lalu untuk mengawal api yang terus merebak dengan sekurang-kurangnya 10 pesawat, 22 helikopter dan beratus-ratus anggota telah dikerahkan. – Agensi