fbpx

PNSB, MGB adakan majlis pecah tanah rumah mampu milik Idaman Cahaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amiruddin (tengah) bersama wakil PNSB, MGB dan MBI selepas merasmikan majlis pecah tanah Idaman Cahaya di Shah Alam, hari ini.

PETALING JAYA – Permodalan Negeri Selangor Bhd. (PNSB) dengan kerjasama MGB Bhd. (MGB) mengadakan majlis pecah tanah projek pangsapuri Idaman Cahaya, fasa ketiga projek Rumah Idaman MBI di Cahaya Alam, Shah Alam hari ini.

Projek tersebut menyediakan pilihan rumah mampu milik dengan harga bermula RM250,000 yang dibangunkan seluas 1.91 hektar bagi Idaman Cahaya 1 dan 3.04 hektar (Idaman Cahaya 2) dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM394 juta.

Setiap daripada 568 unit di Idaman Cahaya direka eksklusif dengan peralatan penting seperti penyaman udara, peti sejuk, almari pakaian, kabinet dapur, televisyen, kabinet televisyen dan pemanas air.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa komited terhadap kesejahteraan penduduk dengan penyediaan rumah yang berkualiti, selesa dan lengkap.

Beliau turut menekankan lokasi yang strategik, harga mampu milik dan unit rumah yang separa lengkap dengan perabot bagi projek Rumah Idaman Cahaya dan Idaman Sari menjadi tarikan utama kepada bakal pembeli hartanah.

“Saya yakin kejayaan Idaman Sari, Idaman Cahaya dan pembangunan Rumah Idaman MBI yang lain, sebagai komitmen untuk memenuhi keperluan perumahan individu yang bekerja dan keluarga muda,” katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah Idaman Cahaya di Shah Alam, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata, pihaknya komited untuk terus membangunkan Rumah Idaman di lokasi penting di Selangor termasuk daerah Petaling, Gombak, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

“PNSB turut berkolaborasi dalam membina sejumlah 22 buah projek lagi dengan kerjasama strategik pemaju-pemaju perumahan yang bereputasi.

“Sebanyak 2,059 unit Idaman Abadi di Kajang 2 telah pun siap dibina manakala baki enam pembinaan untuk 5,596 unit di empat daerah lain sedang dibangunkan,” ujarnya.

Untuk rekod, PNSB merupakan anak syarikat kerajaan negeri Selangor di bawah seliaan Menteri Besar Selangor (Diperbadankan) (MBI) sementara MGB pula adalah anak syarikat kepada LBS Bina Group Bhd (LBS).

Projek Rumah Idaman MBI adalah inisiatif usahasama antara MGB dan PNSB Construction Sdn. Bhd., mensasarkan untuk membina 7,210 unit rumah mampu milik dengan teknologi pratuang Sistem Binaan Berindustri (IBS) MGB.

MGB turut komited untuk melancarkan Idaman Cahaya dan Idaman Sari dengan kadar pengambilan sebanyak 100 peratus pada hari pecah tanah tersebut.

Kriteria kelayakan umum bagi Projek Rumah Idaman MBI adalah termasuk warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas, dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang telah bekerja atau menetap di Selangor.

Kriteria tambahan termasuk pendapatan isi rumah di bawah RM10,000 sebulan dan tiada pemilikan hartanah terdahulu di Selangor. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI