ALOR GAJAH – Jualan perabot terpakai dengan konsep bayaran ‘seikhlas hati’ bernilai RM300,000 licin dalam tempoh kurang 24 jam tawaran itu dibuka di Lendu, Masjid Tanah di sini.
Menurut pemilik kedai, Kapten Khairulnizam Kamis (Bersara), 50, inisiatif itu dilakukan susulan dia ingin mengosongkan premisnya bagi kerja-kerja baik pulih bumbung dan bangunan yang rosak.
“Kalau hendak bawa barang perabot keluar memang payah dan mengambil masa, jadi timbul idea jual semua perabot dan peralatan elektrik dengan harga bayar seikhlas hati.
“Memang tak sangka orang ramai berpusu-pusu datang ke kedai seperti orang tengok konsert, semua licin dalam tempoh tidak sampai sehari,” katanya ketika ditemui pemberita.
Tambah Khairulnizam, pada mulanya dia bercadang membuat jualan dalam tempoh enam hari bermula 25 Julai hingga 30 Julai ini, namun kira-kira 95 peratus perabot telahpun terjual sehingga ruang kedainya menjadi kosong pada hari pertama, Selasa lalu.
Mengulas lanjut dia berkata, jualan tersebut melibatkan nilai barangan berjumlah keseluruhan RM300,000.
“Saya tidak sangka ada pelanggan yang sanggup datang dari Johor, Kuala Lumpur dan Pahang.
“Malah, keadaan menjadi sesak apabila ada yang datang membawa lori sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di hadapan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Lendu,” ujarnya.
Katanya, kutipan yang diperolehi daripada jualan perabot terpakai itu akan digunakan untuk membantu golongan memerlukan khususnya asnaf, orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal. – KOSMO! ONLINE