PETALING JAYA – Kerajaan hari ini melancarkan Pakej Rahmah Jalur Lebar Tetap Allo yang menawarkan perkhidmatan internet kediaman pada harga RM69 sebulan untuk 100 Mbps.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, tawaran perkhidmatan internet kediaman pada harga rendah itu adalah dibawah Pakej Rahmah Jalur Lebar Tetap Allo.
“Pada Februari 2023, saya telah melancarkan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap.
“Melalui inisiatif tersebut, internet berkelajuan 30 Mbps yang sebelum ni berharga RM89 sebulan telah diturunkan kepada RM69 sebulan.
“Pagi ini satu lagi berita baik diumumkan. Saya telah melancarkan Pakej Rahmah Jalur Lebar Tetap Allo di TNB Platinum Kuala Lumpur.
“Melalui pelancaran ini, harga internet yang ditawarkan adalah RM69 sebulan, namun bukan untuk 30 Mbps, tetapi untuk 100 Mbps,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, kerajaan akan mengusahakan pemasangan unit Starlink dan perkhidmatan internet lain di tiga peratus kawasan yang masih tidak mempunyai akses internet.
Tambah beliau, manakala untuk kawasan yang telah mempunyai akses internet, beliau akan pastikan kualiti perkhidmatan yang lebih baik dan harga yang lebih mampu milik.
“Seperti pernah saya katakan, komitmen saya memastikan rakyat Malaysia menikmati perkhidmatan internet yang baik tetap menjadi tumpuan utama,” katanya. – KOSMO! ONLINE