fbpx

MHO serah surat kepada KPDN mohon maklum balas kes penipuan e-Ganjaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hishamuddin bersama mangsa penipuan aplikasi e-Ganjaran ketika hadir menyerahkan surat permohonan maklum balas di Ibu Pejabat KPDN, hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

PUTRAJAYA – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini menyerahkan surat permohonan maklum balas kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhubung jenayah penipuan aplikasi e-Ganjaran.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, tujuan utama surat berkenaan diserahkan kepada KPDN adalah bagi mendapatkan perkembangan semasa dan status terkini laporan yang dilakukan oleh 114 orang mangsa membabitkan kerugian kira-kira RM5 juta berhubung jenayah penipuan aplikasi berkenaan.

Katanya, pihaknya difahamkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa laporan polis yang dibuat oleh kesemua mangsa telah dirujuk kepada pihak KPDN.

“Kita datang untuk berbincang dengan KPDN menggunakan peraturan yang ada di bawah Seksyen 107A Kanun Tatacara Jenayah di bawah seksyen ini memberikan hak kepada pengadu dalam tempoh 14 hari untuk mendapat maklum balas dan keputusan siasatan.

“Jadi kita guna peruntukan yang ada ini untuk kita hantar dokumen kepada KPDN dan mengharapkan satu jawapan berkanun.

“Kita berharap dapat jawapan berkanun untuk kita tahu apakah perkembangan kes ini dan keputusan siasatan sama ada terdapat siasatan atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat berkenaan di Ibu Pejabat KPDN turut dihadiri kira-kira 20 mangsa di sini hari ini.

Surat berkenaan diserahkan oleh Hishamuddin yang mewakili mangsa kepada Pegawai Perhubungan Awam Unit Komunikasi Korporat KPDN, Mohd Firdaus Karos.

Terdahulu, Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin dilaporkan berkata syarikat terbabit sudah diserbu oleh pihak KPDN pada tahun lepas.

Noorsiah berkata siasatan pihak KPDN dijalankan mengikut Seksyen 4(1) dan Seksyen 27B Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993.

Difahamkan aplikasi itu yang diperkenalkan sejak 2020 menawarkan pembelian barangan serta perkhidmatan melalui penggunaan e-dompet dan pengguna akan diberikan penjimatan sehingga 50 peratus dan turut menerima mata ganjaran yang seterusnya boleh ditebus menerusi pembelian barangan atau wang tunai yang akan dikreditkan ke akaun pengguna bagi setiap pembelian.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Tan Sri Musa Hassan berkata, dia berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan secara telus serta memberi keadilan kepada semua mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI