fbpx

Mahkamah: ‘Apa salah Aiman, kenapa dia zalimi’ – Ibu mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allahyarham Aiman.

SHAH ALAM – Suasana galeri Mahkamah Tinggi hari ini diselubungi hiba apabila ibu kepada pemandu Grab, Allahyarham Aiman Nosri hadir memberikan kenyataan impak pada prosiding keputusan pembunuhan Aiman, hari ini.

Nurizawati Dani, 57, yang memberikan kenyataan itu di kandang saksi dalam keadaan menangis teresak-esak telah menyebabkan beberapa ahli keluarga lain turut mengesatkan air mata mereka.

Suri rumah itu dalam kenyataannya dalam tempoh lebih tujuh minit memaklumkan trauma dan amat tertekan sehingga langsung tidak boleh mendengar sesiapa menyebut nama anaknya itu.

Ujarnya, walaupun telah lima tahun berlalu tetapi dia masih mengingati kejadian yang menimpa anaknya itu yang dianggap seperti berlaku semalam.

“Apa salah Aiman? Apa salah Aiman sehingga dia dizalimi sedemikian rupa? Salahkah dia mencari rezeki untuk dirinya dan juga untuk membantu umi dia? Kenapa dia dizalimi begitu rupa???

“Kenapa dia dirampas sebegitu rupa dari saya? Saya sendiri tidak pernah walau sekali memukul atau menyakiti dia. Kenapa zalim sangat dengan Aiman,” katanya.

Nurizawati turut menjelaskan Aiman merupakan satu-satunya anak lelaki yang menjadi harapan untuk menjaganya ketika tua nanti.

Wanita itu juga memberitahu, anak ketiga daripada empat beradik itu merupakan individu yang sangat baik budi pekerti dan berakhlak mulia dan penyayang kepada sesiapa sahaja.

“Setiap malam selama lima tahun ini saya menangis ingatkan Aiman. Saya tidak akan dapat lagi memeluk dia dan berbicara dengan dia dengan hampir setiap malam saya mimpikannya.

“Rindu yang sangat dalam yang tiada ubatnya. Hanya tinggal bilik dia, baju dia dan barangannya,” katanya.

Nurizawati menambah, Aiman paling dengannya dan setia menemaninya ke mana sahaja.

“Masih ingat perkataannya dari kecil sampai dewasa ‘Aiman akan jaga umi’ Aiman akan teman umi’,” katanya.

Pada prosiding tersebut juga, kedua-dua tertuduh iaitu Sua Lay, 38 dan Gupreet Singh, 28, mendengar dan memahami kenyataan itu menerusi jurubahasa Myanmar dan India.

Terdahulu, Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor mendapati kedua-dua tertuduh didapati bersalah selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI