PASIR MAS – Seorang lelaki parah dan kini ditidurkan di wad unit rawatan rapi (ICU) selepas lehernya dikelar seorang penagih dadah dalam kejadian di Rantau Panjang di sini kelmarin.
Mangsa berusia 32 tahun mengalami pendarahan teruk akibat dikelar dengan sebilah pisau pada bahagian depan lehernya yang terkena saluran pernafasan.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamad berkata, polis menerima laporan daripada ibu mangsa yang berusia dalam lingkungan 50-an berhubung kejadian itu kira-kira pukul 6.27 petang kelmarin.
Menurutnya, wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu memaklumkan bahawa anaknya datang ke tempat kerjanya dengan menunggang sebuah motosikal dalam keadaan berlumuran darah.
“Ibu mangsa mendapati terdapat kesan kelar pada bahagian leher lelaki tersebut. Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang di sini sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu selepas mengalami pendarahan teruk.
“Luka akibat kesan kelar itu terkena pada saluran pernafasan mangsa dan dia kini ditidurkan di wad ICU HRPZ II,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kama Azural memberitahu, polis kemudiannya mengenal pasti suspek sebelum lelaki itu ditahan di Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang di sini kira-kira pukul 9 malam pada hari yang sama.
Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati, suspek positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai rekod jenayah lampau berkait kes dadah dan jenayah.
Katanya, lelaki itu ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE