fbpx

Influencer memandu guna telefon punca kena saman di Jalan Tun Sambanthan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar wanita tular mengamuk selepas disaman di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, Kuala Lumpur, Isnin lalu.

KUALA LUMPUR – Gara-gara disaman kerana menggunakan alat komunikasi dan tidak memakai tali pinggang semasa memandu, seorang wanita bertindak mengamuk dan menjerit kata-kata kesat pada anggota polis di Jalan Tun Sambanthan, di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya terkesan video kejadian itu tular di media sosial semalam.

“Hasil siasatan mendapati mendapati suspek tidak puas hati kerana disaman dengan kesalahan menggunakan alat komunikasi dan tidak memakai tali pinggang semasa memandu.

“Kejadian provokasi tersebut dikatakan berlaku membabitkan dua anggota polis pada Isnin lalu sekitar pukul 3.40 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sehingga kini, video tersebut masih boleh diakses serta mempunyai 274 perkongsian di Facebook dan 5414 perkongsian di TikTok.

“Hal yang berlaku ini dikhuatiri boleh menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dalam menjalankan tugas dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 40 saat seorang wanita tempatan melakukan provokasi dan menjerit kata-kata kesat pada dua anggota polis di lokasi kejadian.

Tindakan wanita yang dipercayai pempengaruh itu juga secara tidak langsung menghalang penjawat awam dalam menjalankan tugas. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI