KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan pihaknya sengaja melambatkan tindakan berhubung insiden penyokong Kuala Lumpur City yang dipukul pada aksi final Piala FA 2023 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Sabtu lalu.
Sebaliknya Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menegaskan pihaknya perlu mendahulukan pihak polis untuk membuat tindakan wajar dan badan induk itu bersedia untuk beri kerjasama penuh.
“FAM ingin membidas kenyataan dibuat oleh pemerhati sukan, Sadek Mustaffa dan beberapa pihak lain yang mendakwa persatuan ini lambat dalam memberi respon atau membuat tindakan berhubung insiden penyokong Kuala Lumpur City yang telah dipukul pada final Piala FA 2023.
“FAM bukan mengambil sikap untuk berdiam diri berhubung hal ini atau pun lambat untuk membuat sebarang tindakan. Laporan polis telah pun dibuat oleh mangsa pada keesokan harinya selepas insiden berkenaan.
“Jadi sudah tentu di pihak FAM, kita tidak boleh membuat sebarang tindakan yang boleh mengganggu siasatan polis kerana ia telah menjadi kes polis. FAM sentiasa bersedia dan terbuka untuk memberi kerjasama kepada pihak polis jika diminta berbuat demikian bagi membantu siasatan kes ini,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Mohd Yusoff menegaskan FAM selaku badan induk bola sepak negara sememangnya menolak keras segala bentuk salah laku yang berkaitan dengan hal-hal keselamatan, kekerasan atau keganasan.
“FAM tetap memandang serius dengan apa yang berlaku ini dan akan segera melakukan tindakan proaktif bersama Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam memastikan kejadian sama tidak berulang pada perlawanan yang akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE