PETALING JAYA – Dua lelaki ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam kerana disyaki menerima wang rasuah bagi meluluskan permohonan visa oleh warga Bangladesh yang memasuki Malaysia sebagai pelancong.
Menurut sumber, siasatan mendapati pegawai penguat kuasa yang bertugas di Suruhanjaya Tinggi tersebut dipercayai bersubahat dengan agensi pekerjaan di Bangladesh dan Malaysia dengan sengaja menyalahgunakan Visa Luar Negara (VLN) membawa masuk rakyat Bangladesh untuk bekerja di Malaysia sejak 2021.
Katanya, hasil siasatan mendapati pegawai tersebut yang melakukan perbuatan itu sejak 2021 dipercayai menerima bayaran sekitar AS$300 ke AS$500 bagi setiap kelulusan permohonan VLN membabitkan jumlah rasuah dianggarkan lebih RM100 juta, meskipun pembayaran visa yang ditetapkan oleh kerajaan hanya RM105 sahaja.
“Kedua-dua lelaki berusia lewat 30an itu ditahan kira-kira pukul 6.30 petang semalam ketika diminta hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya.
“Seorang individu yang ditahan ini dipercayai pengarah urusan sebuah syarikat pembekal tenaga kerja yang bersekongkol dengan pegawai agensi penguat kuasa tersebut,” katanya di sini hari ini.
Katanya, pegawai tersebut adalah pegawai agensi penguat kuasa ketiga yang telah ditahan untuk membantu siasatan Op Taka yang dilancarkan pada April lalu oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia.
“Susulan penahanan tersebut, Majistret M. Mageshwary telah membenarkan kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 31 Julai setelah pihak SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Shah Alam hari ini,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE