fbpx

Beri peluang MSN, PKBM selesai isu LTdL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh melayan peserta ketika hadir pada kejohanan hoki kerjasama antara Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dan Kelab Diraja Selangor (RSC) di Bukit Kiara hari ini.

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menaruh sepenuh kepercayaan terhadap Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bagi menyelesaikan kemelut berhubung penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL).

Penganjuran LTdL 2023 yang dijadualkan berlangsung 23 hingga 30 September depan berdepan kemungkinan dibatalkan ekoran masalah hutang melibatkan penganjur terdahulu, Human Voyage (HV).

Bagaimanapun, Hannah menggesa supaya semua pihak bertenang selain memberi ruang kepada MSN dan PKBM mencari jalan penyelesaian bagi memastikan masalah tersebut menemui titik noktah.

“Berhubung LTdL, MSN tengah bincang dengan persatuan sukan kebangsaan dan saya fikir Datuk Amarjit (Naib Presiden PKBM) pernah menyatakan akan berbincang dengan badan antarabangsa bagi menyelesaikan isu ini.

“Kita tunggu beberapa hari untuk dapatkan maklumat daripada mereka. Sebenarnya, ia bukan perkara baharu kerana sudah lama wujud,” katanya ketika ditemui pada kejohanan hoki kerjasama antara Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dan Kelab Diraja Selangor (RSC) di Bukit Kiara hari ini.

Terdahulu, saingan LTdL yang memiliki status ProSeries didapati tidak tersenarai dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) musim ini dan berkemungkinan ia disebabkan oleh masalah hutang tersebut.

Sebelum ini, Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd. Wahab mendedahkan, lima pasukan membuat laporan kepada UCI selepas tidak menerima yuran penampilan seperti dijanjikan HV berjumlah lebih RM1 juta.

Pada masa sama, HV juga sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap PKBM susulan kenyataan badan induk itu yang dianggap menjatuhkan imej HV.

Dalam perkembangan lain, Hannah turut meminta orang ramai supaya menunggu siasatan pihak polis berhubung insiden keganasan bola sepak pada final Piala FA antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City (KL City) minggu lalu.

“Saya fikir kita ada Kod Sukan Selamat dan ia bagi memastikan kesalamatan dalam sukan diambil kira. Kita tidak tahu siapa salah, tunggu sahaja siasatan polis,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI