PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan kekecewaan apabila tumbler edisi terhad Blackpink yang dihiasi permata ‘Rhinestones’ telah tercabut biarpun baru sehari memilikinya.
Menerusi perkongsian video di media sosial @maksu.__, dia menunjukkan tumbler tersebut yang kini sudah kehilangan salah satu permata di bahagian bawah botol itu.
Menurutnya, tumbler itu tidak pernah digunakan lagi mahupun diisi air selain hanya dikeluarkan untuk mengambil gambar.
“Baru sehari, macam mana (permata) dia tercicir. Botol ni aku tak bawa ke mana-mana, aku hanya keluarkan dan masuk daripada kotak sahaja.
“Untuk makluman, botol ni tak pernah kena air dan (tidak pernah) di sentuh oleh orang ramai. Hanya tangan aku, tangan Nina dan tangan Pikah,” katanya, semalam.
Selain itu, pemilik tumbler tersebut terus meluahkan kerisauan apabila beberapa permata yang lain turut dilihat sedikit longgar.
“Yang dekat sini pun dah mula longgar aku risau, aduhh nak buat macam mana ni. Aku nak salahkan siapa ni? Lisa, ‘hang’ buat tumbler tak gam elok-elok ke?” ujarnya.
Sementara itu, dalam hantaran berbeza, wanita terbabit telah pergi ke cawangan kedai kopi berkenaan untuk membuat pertukaran dan kini sedang menunggu maklum balas.
“Aku dah cuba pergi untuk tukar dan mereka akan tanya pihak atasan jika boleh ganti,” jelasnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang wanita sanggup menunggu lebih tujuh jam gara-gara ingin memiliki tumbler edisi terhad ahli kumpulan Korea Selatan terkenal, Blackpink di sebuah kedai kopi popular.
Untuk rekod, tumbler edisi terhad itu berharga RM478 sebiji dimana setiap cawangan kedai kopi hanya mempunyai dua unit sahaja. – KOSMO! ONLINE