SKUAD hoki lelaki kebangsaan menjadikan Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) yang akan berlangsung di Chennai, India bermula 3 hingga 12 Ogos ini sebagai medan persediaan bagi menghadapi temasya Sukan Asia Hangzhou 2023.
Ketua jurulatih skuad hoki negara, Arul Selvaraj berkata, barisan pemainnya sudah berada pada fasa terakhir persiapan bagi menghadapi kejohanan tersebut yang disertai enam negara lain.
Beliau juga memberi peringatan kepada anak-anak buahnya supaya fokus serta memperkemaskan permainan sendiri memandangkan mereka dijangka berdepan tugas sukar berdasarkan senarai negara yang turut serta.
“Fokus kita sekarang adalah ke arah Sukan Asia, jadi kita akan gunakan ACT ini sebagai medan persiapan sebelum aksi di Hangzhou. Saya harap kita dapat menampilkan aksi positif dan mengharungi kejohanan dengan baik.
“Kita akan kaji pasukan-pasukan lawan nanti, namun fokus sekarang adalah pada permainan sendiri dan tajamkan permainan. Memang kita perlu bersiap sedia sebelum pergi ke sana,” katanya pada sidang akhbar pengumuman skuad ke ACT di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Najmi Razak yang mengumumkan senarai 20 pemain serta pengurus skuad lelaki kebangsaan, Datuk Mirnawan Nawawi.
Pada kejohanan yang menggunakan format liga sepusingan itu nanti, Malaysia dijadualkan berdepan pasukan-pasukan terbaik Asia seperti India, Pakistan, Korea Selatan, China dan Jepun.
“Kita akan berikan fokus terhadap satu demi satu perlawanan di sana nanti. Kita tahu semua pasukan yang menyertai ACT akan jadikan kejohanan tersebut sebagai persediaan untuk ke Sukan Asia,” ujarnya.