SEREMBAN – Polis Kontinjen Negeri Sembilan akan menggerakkan 3,010 pegawai dan anggota di semua daerah dalam memastikan proses penamaan calon esok berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak dingini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, pecahan itu melibatkan 358 pegawai kanan dan 2,388 pegawai rendah polis di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.
Menurut Ahmad Dzaffir, orang ramai dinasihatkan untuk tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan di kawasan pusat-pusat penamaan calon, undi awal dan hari mengundi seperti pada tiga tarikh yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Ini termasuk pada Hari Penamaan Calon pada 29 Julai 2023 (esok), Hari Mengundi Awal pada 8 Ogos 2023 (Selasa) dan Hari Mengundi pada 12 Ogos 2023 (Sabtu).
“Sebarang aktiviti penerbangan termasuk pengendalian aktiviti dron adalah tertakluk di bawah Peraturan 140 – 144, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 (MCAR),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Jelas Ahmad Dzaffir, penalti di bawah Peraturan 206 (3), MCAR 2016 boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum 3 tahun atau kedua-duanya (Individu) dan denda tidak lebih RM100,000 (pertubuhan atau Syarikat).
Dalam pada itu, Ahmad Dzaffir berkata, sepanjang proses penamaan calon esok lima daerah akan terlibat dalam beberapa lokasi penutupan jalan, antaranya Seremban, Nilai, Port Dickson, Jempol dan Jelebu.
“Orang ramai dan pengguna jalan raya diminta merancang perjalanan dengan merujuk pada kenyataan penutupan dan lencongan jalan pada Hari Penamaan Calon di ‘Facebook’ polis daerah.
“Ini bagi memberi laluan proses penamaan calon pada hari tersebut serta mematuhi arahan pegawai polis yang bertugas bagi mengelakkan kesulitan dan kesesakan lalu lintas,” katanya. – KOSMO! ONLINE