WASHINGTON – Satu rakaman video tular memaparkan seorang pemandu wanita keluar dari keretanya di Jambatan Teluk San Francisco dalam keadaan bogel dan menembak ke arah polis petang kelmarin, lapor portal berita MailOnline.
Wanita tidak dikenali itu kemudian dilihat berjalan di lebuh raya rentas negeri, Interstate 80 tanpa seurat benang sambil mengacukan sepucuk pistol ke arah kenderaan lalu lalang.
Dia seterusnya didatangi beberapa anggota Peronda Lebuh Raya California yang kemudian menangkapnya tanpa sebarang insiden tidak diingini. Bagaimanapun, kejadian itu menyebabkan Jambatan Teluk San Francisco yang dilalui hampir 40 juta orang setahun ditutup selama sejam.
Seorang saksi memberitahu, wanita itu keluar dari keretanya di tengah lebuh raya dengan membawa pisau dan mula menjerit ke arah pemandu lain.
Selepas memasuki semula kenderaannya, wanita itu memberhentikan keretanya sekali lagi selepas melepasi plaza tol di jambatan tersebut sebelum keluar daripada kereta dalam keadaan bogel.
Dia kemudian mula melepaskan tembakan tetapi polis berkata, tiada kecederaan dilaporkan dan tiada kenderaan yang terkena tembakan.
Apabila pasukan Peronda Lebuh Raya California tiba di tempat kejadian, mereka mengarahkan suspek supaya melepaskan pistolnya dan dia pada mulanya menolak tetapi akhirnya akur dengan arahan polis.
Wanita berkenaan kemudian dibawa ke sebuah hospital tempatan untuk mendapatkan pemeriksaan mental. Polis masih menyiasat kejadian itu untuk mengenal pasti motif suspek bertindak demikian. – Agensi