fbpx

Tapisan ketat punca PN Negeri Sembilan lewat umum calon PRN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD Faizal Azumu ketika mengumkan calon mewakili PN pada PRN di Negeri Sembilan pada Majlis Munajat Perdana dan Pengisytiharan Calon PN Negeri Sembilan di Sikamat, Seremban malam ini.-Foto oleh MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN/ KOSMO!

SEREMBAN – Proses tapisan yang terlalu ketat telah menyebabkan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan lewat mengumumkan calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada bulan depan.

Pengerusi Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, semua calon berkenaan telah melalui proses tapisan pelbagai peringkat bagi memastikan tiada masalah berbangkit pada PRN kelak.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, tapisan yang ketat bertujuan memastikan PN dapat menampilkan calon terbaik yang boleh mewakili rakyat dengan berkesan.

“Kita mempunyai kawanan calon hebat yang ramai dan bukan masalah tiada calon. Jadi kita perlu pilih dengan lebih teliti dan ia telah menyebabkan kita sedikit terlewat buat pengumuman,” katanya kepada para pemberita selepas Majlis Munajat Perdana dan Pengisytiharan Calon PN Negeri Sembilan di Sikamat dekat sini malam ini.

Pada majlis itu, Ahmad Faizal mengumumkan seramai 34 nama mewakili PN dalam PRN kali ini, kurang dua kerusi daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

Daripada jumlah itu, seramai 15 calon dari Bersatu, Pas (13) dan Gerakan (6).

Mengenai kerusi DUN Jeram Padang dan Sri Tanjung yang belum mempunyai calon, Ahmad Faizal memberitahu, dua nama calon berkenaan sudah pun diputuskan.

“Namun beberapa perkara teknikal perlu diperhalusi dan saya jangka nama mereka dapat diumumkan esok,” katanya.

Sementara itu, usaha pihak media untuk mendapatkan pecahan nama calon berdasarkan parti asal mereka telah dibantah oleh Ahmad Faizal.

“Saya minta semua mereka dikenali sebagai calon PN dan bukan dari Bersatu atau Pas atau Gerakan,” ujarnya.

Ditanya sama ada terdapat rasa tidak puas hati dengan pemilihan calon, beliau mengakui terdapat sedikit rasa tidak puas itu.

“Tapi kita tidak terlalu meruncing seperti apa yang berlaku pada malam pengumuman calon oleh PH (Pakatan Harapan) beberapa hari lalu,” katanya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI