fbpx

Tahap keterjaminan makanan negara masih stabil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tahap keterjaminan makanan di Malaysia masih stabil selepas pelbagai usaha diambil oleh kerajaan untuk memastikan kecukupan bekalan terbabit.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, usaha tersebut antaranya melalui pemberian pelbagai jenis bantuan kepada golongan sasar untuk meningkatkan sektor agromakanan dan peningkatan import.

Menurutnya, berdasarkan trend pengeluaran dan import semasa, pihak kementerian yakin bekalan makanan dalam negara mencukupi bagi menampung keperluan domestik.

“Prestasi Malaysia dalam Indeks Sekuriti Makanan Dunia (GFSI) bagi tahun lalu menunjukkan, Malaysia di tangga ke-41 daripada 113 negara dengan mencatatkan prestasi sederhana iaitu skor sebanyak 69.9.

“Berdasarkan ranking, Malaysia berada di kedudukan kelapan dalam kalangan negara Asia Pasifik, manakala berada di tangga kedua selepas Singapura dalam kalangan negara Asia Tenggara,” katanya menyampaikan ucaptama pada Ministerial Forum Mengenai Kterjaminan Makanan Negara 2023 di sini, hari ini.

Mohamad berkata, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) menggariskan empat dimensi sekuriti makanan iaitu ketersediaan makanan, aksesibiliti makanan, keselamatan makanan dan pemakanan serta kestabilan dan kemampanan.

Ujarnya, empat dimensi tersebut akan menjadi kayu ukur kepada kementeriannya dalam memastikan keterjaminan makanan negara mampu bertahan dalam jangka masa panjang.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak lima fokus utama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam menjayakan agenda tersebut selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Ngeara dan Dasar Agromakanan Negara 2.0.

“Ia melibatkan iaitu memperkasa industri akuakultur, memperluas penternakan lembu secara fidlot, penanaman jagung bijian bagi makanan ternakan serta mempertingkatkan penglibatan belia untuk berkecimpung dalam sektor agromakanan dan pertanian pintar.

“Fokus kelima ialah memperkasa institut latihan pertanian dalam melahirkan graduan berkualiti tinggi dalam bidang teknologi pertanian, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pertanian moden dan pintar selaras dengan hasrat negara dalam membentuk pekerja mahir pertanian,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI