fbpx

Popular bukan jaminan artis menang pilihan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
(Dari kanan) Baby Shima, Muhammad Sanusi dan Altimet.

“Selepas 20 tahun pentingkan diri, saya mula fikir untuk orang lain, tentang anak saya.”

Itu jawapan diberikan penyanyi rap, Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Abdul Rahman apabila ditanya sendiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Program Temu Anwar di Hotel Flamingo pada 2021 mengenai keputusannya yang menyertai politik.

Ahad lalu, nama Altimet diumumkan sebagai calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini meskipun pengalamannya dalam gerak kerja peringkat DUN hanya berusia sembilan bulan.

Selain itu, antara figura lain yang dilihat bakal membuktikan pengaruh dan relevansi selebriti dalam membantu meraih undi rakyat adalah bekas pemain skuad Kedah, Baddrol Bakhtiar yang dilaporkan bakal bertanding atas tiket PN di DUN Selambau.

Katanya, penghijrahan itu dilakukan atas dasar kagum dengan keberanian Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor.

Tiga hari lalu pula, penyanyi dangdut kontroversi Baby Shima membuat ‘prank’ dengan mengumumkan akan bertanding sebagai calon menerusi Instagram.

Namun, selepas sehari dijadikan bahan membawang, Baby Shima menjelaskan ia hanyalah gurauan demi menggalakkan rakyat keluar mengundi.

“Jadi, kalian perlu turun mengundi nanti dan pilih calon terbaik. Jangan sampai Shima jadi calon,” katanya.

Cerita selebriti menjadi calon ini bukanlah baharu. Sebelum ini Azwan Ali, Aishah, Herman Tino, Datuk Eizlan Yusof dan Lando Zawawi pernah mencuba nasib.

Satu-satunya artis yang berjaya dan bergelar wakil rakyat adalah calon BN, Datuk Khaidiriah Abu Zahar atau Dira selepas memenangi PRN Melaka bagi DUN Rim pada 2021.

Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk. Dr. Ismail Sualman berkata, di negara luar, pengaruh selebriti sememang­nya telah dibuktikan sebagai mana yang dilakukan legenda kriket Pakistan, Imran Khan Niazi yang berjaya Perdana Menteri pada 2018.

“Begitu juga di Amerika Syarikat apabila selebriti televisyen diangkat menjadi Presiden. Namun, perkara itu tidak dilihat berlaku di negara ini kerana kematangan pengundi pada hari ini tidak menjamin kemenangan calon yang popular.

“Dalam dunia hiburan mungkin populariti mereka boleh diakui, namun itu tidak diterjemahkan di dalam dunia politik kerana bentuk sumbangan diberikan kepada rakyat itu tidak sama.

“Ini berbeza dengan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan kriteria dipilih adalah mereka yang mempunyai track record yang baik dan diterima di kawasan setempat.

“Sekiranya selebriti itu telah lama berjinak dalam dunia politik, dilihat ketokohan dan dikenali rakyat atas sumbangannya, maka ia tidak menjadi masalah seperti yang berlaku di Melaka.

“Kalau muncul atas hanya sebagai artis popular dangdut atau sebagainya ia tidak akan berlaku,” katanya.

Tambahnya, tindakan PKR meletakkan Altimet bagi kerusi dalam Parlimen Ampang itu dilihat sebagai strategi untuk menarik pengundi muda yang peratusannya tinggi di kawasan tersebut.

Apapun strategi yang dilakukan, penulis berharap selebriti yang diangkat menjadi lidah ­rakyat perlu menjaga dan melindungi hak-hak pengundi dengan baik, bukan menggunakan kuasa untuk mengejar populariti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI