HULU SELANGOR – Polis mengesahkan mesej yang ditularkan di media sosial yang mendakwa berlaku beberapa kes samun bersenjatakan parang di Taman Bayan, Batang Kali, di sini adalah benar.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, pihaknya kini sedang sedaya upaya memburu suspek seorang lelaki tempatan yang melakukan aktiviti samun di lokasi itu.
Katanya, setakat ini tiga laporan polis diterimanya membabitkan kejadian samun sejak 15 Oktober 2022 hingga 21 Jun lalu.
“Makluman awal memang berlaku beberapa kes samun bersenjatakan parang dan kita ada menerima laporan berkaitan kes itu.
“Kebanyakan mangsa adalah berusia 37 tahun hingga 71 tahun yang menggunakan laluan tersebut, setakat ini masih belum ada tangkapan,” katanya.
Ahmad Faizal berkata, orang ramai disaran mengelakkan daripada menggunakan laluan alternatif itu untuk sementara waktu bagi tujuan keselamatan memandangkan suspek masih bebas.
“Kita sedang menggandakan usaha serta meningkatkan rondaan untuk mengesan dan menangkap suspek,” katanya.
Semalam, tular mesej pesanan yang mendakwa banyak kes samun di jalan pintas di belakang Taman Bayan di sini, sekali gus menjadikan laluan itu tidak selamat.-KOSMO! ONLINE.