fbpx

PM mahu isu guru mendapat liputan adil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar sewaktu hadir pada Majlis Apresiasi Guru Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini hari ini. Foto oleh MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN/ KOSMO!

SEREMBAN – Isu melibatkan guru bermasalah di negara ini tidak menggambarkan institusi perguruan secara keseluruhan dan perlu mendapat liputan media yang adil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masih terdapat ratusan ribu guru yang telah berjaya dan menjalankan tugas dengan sangat baik.

“Kadang kala kita tengok dalam media dan media sosial, memang ada satu dua orang guru kerana garang sangat, kadang-kadang pelajar takut mahu pergi sekolah, takkan lah satu dua itu mewakili ratusan ribu guru lain.

“Sebab itu saya masih menekankan bahawa liputan media itu harus adil, majoriti guru itu berjasa, saya masih ingat lagi, dalam pengalaman saya dengan puluhan guru dari dajah satu sehingga tingkatan enam umpamanya dan kemudian di Universiti Malaya. Mungkin ada satu dua guru yang bermasalah tetapi secara keseluruhan guru itu sangat baik dan berjasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Guru Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban hari ini selepas menyampaikan Anugerah Guru Madani Negeri Sembilan Tahun 2023 dan Anugerah Pemimpin Pendidikan Madani Negeri Sembilan Tahun 2023.

Justeru, Anwar menegaskan, perkara berkenaan perlu mendapat liputan lebih adil khususnya di dalam media selain guru-guru yang telah memberikan khidmat terbaik berkenaan wajar diberikan penghargaan.

“Khidmatnya luar biasa, jadi sebab itu saya rasa majlis-majlis penghargaan apresiasi seperti ini harus diadakan untuk ingatkan bukan sahaja kepada guru-guru juga ibu bapa,” ujarnya.

Anwar berkata, kerajaan akan sentiasa memberikan keutamaan dalam aspek pendidikan kerana beliau berpandangan bidang lain seperti ekonomi, kemampanan, ehsan dan rahmah itu adalah asasnya dari bidang pendidikan.

“Sebaik sahaja saya ambil alih pada bulan November tahun lalu, bentangkan Belanjawan Madani, jumlah peruntukan terbesar yang dibuat oleh Kerajaan Perpaduan adalah kepada Kementerian Pendidikan, dunia pendidikan memperoleh sebanyak RM2 bilion tambahan.

“Semua kena tahu, masuk sekolah buku teks ada atau tidak? wang pengurusan gaji guru ada atau tidak? itu yang harus kita lakukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI