KEJAYAAN menjuarai hadiah utama Liga Fantasi Kosmo! edisi 2022/2023 umpama mimpi menjadi kenyataan buat Muhammad Sidqi Mat Kamil dan Nurul Ain Shahira Suhaimi yang sudah lama mengimpikan peluang untuk menyaksikan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di England.
Sidqi dan Nurul Ain berjaya muncul sebagai dua pemenang hadiah utama Liga Fantasi Kosmo! yang menggunakan format Fantasy Premier League (FPL) bermula Ogos tahun lalu.
Sidqi yang menguruskan pasukan Abah Tasnim mengumpul 2,617 mata telah muncul sebagai juara keseluruhan, manakala Nurul Ain menerusi pasukan Sylvanian Family dibezakan lima mata sebagai naib juara.
“Perasaan saya ketika ini memang terkejut dan sangat gembira kerana sudah menjadikan juara sebagai sasaran. Sebenarnya, pertengahan musim pasukan terperosok ke kedudukan ke-30, namun saya tidak patah semangat dan kembali mengejar,” kata Muhammad Sidqi.
Sementara itu, Hazree Azmir Riamira yang mewakili Nurul Ain bersyukur atas kejayaan tersebut selain berkata, komitmen serta usaha ditunjukkan sepanjang saingan musim lalu membuahkan hasil.
“Saya mewakili isteri sebagai pemenang dan ini adalah kali pertama dapat hadiah pergi ke luar negara. Apabila menang hadiah sebegini, ia membuatkan kami lebih bersemangat untuk sertai,” katanya selepas selepas Majlis Penyampaian Hadiah Liga Fantasi Kosmo! 2022/2023 di Ibu Pejabat Kosmo!, Petaling Jaya semalam.
Sementara itu, dua pemenang hadiah motosikal iaitu Mohamad Akbar Fathi Ismail dan Muhammad Adri Razam mengakui berbaloi menyertai Liga Fantasi Kosmo! apabila masing-masing membawa pulang motosikal Modenas Elegan 250cc bernilai RM16,000 dan Modenas Pulsar 250cc (RM11,000).
Bagi Mohamad Akbar, dia mengakui berbangga dengan pengorbanannya sebelum ini kerana terpaksa bersengkang mata dan adakalanya sanggup berhenti tepi jalan semata-mata untuk melakukan pertukaran pemain.
Muhammad Adri pula mengakui penyertaannya kali ini merupakan musim kedua dan disebabkan itu nama pasukannya dikenali sebagai ‘Baru 2nd Season’.
“Saya banyak belajar menerusi laman sosial. Saya bermain secara berseorangan tanpa ada bantuan orang luar. Saya ikut pilihan pengurus-pengurus FPL ternama di media sosial tetapi saya ada konsep tersendiri. Saya hanya pilih pemain yang akan berdepan aksi mudah,” katanya.
Sementara itu, Pengarang Kosmo! & Kosmo! Ahad, Wan Hasnan Wan Hasan berkata, penganjuran Liga Fantasi Kosmo! Adalah sebagai tanda terima kasih dan penghargaan kepada pembaca setia kerana menyokong akhbar Kosmo! selama ini.
“Ini musim kedua Liga Fantasi Kosmo! dianjurkan dan kami menerima tajaan daripada DRB Hicom. Tujuan penganjuran ini adalah sebagai tanda terima kasih Kosmo! kepada pembaca setia,” katanya.
Majlis itu turut dihadiri Pengarah Urusan/Ketua Pengarang Kumpulan Media Mulia, Mohamad Azlan Jaafar dan Ketua Bahagian Komunikasi Strategik Kumpulan DRB Hicom, Mahmood Razak Bahman.