PETALING JAYA – Pemegang Saham Malaysia Building Society Berhad (MBSB) meluluskan pengambilalihan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada RM1.01 bilion, hari ini.
Menerusi perjanjian tersebut, MBSB akan melengkapkan pembayaran dengan menerbitkan kira-kira 1.05 bilion saham baharu dalam kumpulan dengan harga RM0.9652 kepada PNB.
Sehubungan itu, MIDF akan menjadi anak syarikat milik penuh MBSB manakala PNB akan muncul sebagai pemegang saham besar dengan pegangan ekuiti sebanyak 12.78 peratus.
Pegangan saham Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam MBSB pula akan berkurang daripada 65.87 peratus kepada 57.45 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) MBSB yang baharu, Rafe Haneef berkata, dengan pengambilalihan ini, MBSB akan lebih berdaya tahan dari segi kewangan dengan kapasiti yang diperkukuhkan.
“Secara individu, setiap bank mempunyai kekuatan teras mereka sendiri, contohnya MBSB terkenal dalam pembangunan hartanah, pembiayaan, pembiayaan rumah dan pembiayaan peribadi untuk sektor kerajaan.
“Tetapi untuk bersaing dalam pasaran hari ini, kami perlukan set produk dan perkhidmatan yang lebih luas. Jadi, ia boleh dilakukan secara organik melalui pemerolehan MIDF.
“Walaupun pertumbuhan organik mengambil masa yang lama untuk menembusi pasaran, namun jika tumpu pada pelaksanaannya, kita mungkin dapat melihat proses integrasi keluar dalam tempoh 12 hingga 24 bulan,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan MBSB, di sini, hari ini.
Ujarnya lagi, kumpulan yang diperbesarkan itu mempunyai 53 cawangan di seluruh negara, dimana 47 daripadanya adalah MBSB Bank dan enam cawangan daripadanya MIDF.
Mengulas lanjut, Rafe berharap dengan penggabungan ini, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan mendapat manfaat yang terbesar berikutan pembiayaan PKS adalah penyumbang teras kepada pengoperasian MBSB dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
“Jadi, dari segi mendekati sektor tertentu dalam PKS, kita boleh lengkapkan dengan perniagaan kewangan pembangunan dari MIDF. MBSB turut menjangkakan untuk melengkapkan cadangan pengambilalihan pada bulan depan namun bergantung kepada keadaan dan baki kelulusan yang diperolehi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE