KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menzahirkan kebimbangan beliau terhadap trend gejala rasuah yang berlaku dalam kalangan pegawai kerajaan gred 54 ke atas.
Menurut Azam, pembabitan pegawai kerajaan gred 54 ke atas menunjukkan peningkatan sejak tahun 2018 dan turut membabitkan kes berprofil tinggi.
“Sekarang ini ia jadi seperti satu kebiasaan pula dan ini agak menakutkan apabila penerima rasuah itu membabitkan pegawai awam gred 54 ke atas.
“Selain itu, kes profil tinggi ini turut membabitkan ahli politik, pemimpin negara, peguam dan lain-lain,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan Tamu Kito di Facebook NEGERIfm Official hari ini.
Jelasnya, kes berprofil tinggi agak sulit dan kompleks untuk disiasat berbanding kes lain.
“Sebagai contoh pegawai kerajaan Jusa C yang mengambil rasuah RM200,000, SPRM perlu menyiasat kerana bukan dia seorang saja menerimanya, kerana ada banyak lapisan dan tugas kita hendak mengesahkan wang itu sampai kepadanya.
“Kita kena siasat satu-satu, tambahan jika menggunakan proksi kerana kadang-kadang proksi itu tidak wujud malah apabila dapat wang itu mereka lakukan penggubahan wang haram.
“Namun kita tetap akan cari balik wang yang dicuci itu sehingga mereka bankrap semula,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.