fbpx

Pajak bumbung rumah untuk panel solar, jana pendapatan sambil berjimat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rafizi (tengah) semasa melancarkan NETR Fasa Pertama sempena Invest Malaysia anjuran Bursa Malaysia Bhd bersama Maybank dan CLSA.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bercadang untuk menawarkan pemilik rumah memajak bumbung kediaman mereka bagi pemasangan panel solar sambil menjana pendapatan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan berhasrat untuk memberi pilihan tersebut dan sebagai pulangan lain, bil elektrik juga dapat dikurangkan serta meletakkan lebih wang tunai ke dalam poket mereka.

Katanya, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) direka untuk menjadikan tenaga bersih pilihan yang relevan dari segi kewangan kepada kebanyakan isi rumah.

“Kerajaan juga menerajui perkara itu dengan memperuntukkan RM80 juta untuk panel solar dipasang di atas bumbung bangunan kerajaan.

“Kita juga mahu melihat panel solar dipasang di seluruh negara, meliputi pejabat, kilang, dewan pelbagai guna dan semua jenis bangunan,” katanya semasa pelancaran NETR Fasa Pertama sempena Invest Malaysia anjuran Bursa Malaysia Bhd bersama Maybank dan CLSA di sini hari ini.

Menurut Rafizi, bagi meningkatkan lagi kesedaran, rakyat Malaysia juga boleh menyumbang minyak masak yang digunakan dan bahan buangan sebagai bahan mentah untuk biojisim dan biofuel.

“NETR juga akan dirasai di jalan raya. (Sebanyak) 10,000 stesen mengecas akan dipasang di sepanjang lebuh raya dan bangunan komersial menjelang 2025, dan pengangkutan awam batu juga akan dibekalkan elektrik.

“Kami sedar sekiranya ingin membuat perubahan pada skala seluruh negara, ia hanya akan berjaya jika dasar kami menyentuh kehidupan orang ramai setiap hari,” ujarnya.

Katanya, bagi meyakinkan empat sekeluarga untuk membeli dan memasang panel solar di atas bumbung mereka dengan harga RM20,000 masih sangat sukar dilakukan.

“Memahami sains dan data peralihan tenaga juga tidak dapat dicapai oleh ramai, yang tidak berasa terdesak sama seperti mereka yang telah menghabiskan beberapa dekad dalam sektor utiliti.

“Justeru itu, NETR direka untuk memecahkan acuan itu dan menjadikan tenaga bersih sebagai pilihan yang relevan dari segi kewangan kepada kebanyakan isi rumah,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI