BACHOK – Sebanyak lapan buah premis yang menjual makanan di daerah ini diarah tutup selama 14 hari selepas didapati tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK).
Pengarah JKNK, Datuk Dr. Zaini Husin berkata, kesemua premis di sekitar bandar Bachok, Jalan Melawi-Kandis, Jalan Bachok-Budi dan Jalan Bachok-Beris Kubur Besar itu ditutup bermula semalam.
Menurutnya, notis arahan penutupan premis itu dijalankan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 menerusi Op Bersepadu Premis Bersih Siri 07/2023 yang dijalankan Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan JKNK.
“Dalam operasi itu, sebanyak 52 buah premis menjual makanan telah diperiksa. Sebanyak 108 notis kompaun bernilai RM15,500 telah dikeluarkan kepada pemilik premis dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
“Tidak mematuhi kehendak berhubung dengan pakaian pengendali makanan merekodkan jumlah kesalahan yang paling tinggi iaitu 88 kes diikuti 12 kes tidak mematuhi kehendak berhubung dengan amalan pengendali makanan (memakai aksesori),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zaini memberitahu, selain itu, tiga kes melibatkan tidak mempamerkan perakuan pendaftaran premis makanan dalam premis makanan turut dilaporkan.
Menurutnya, dua kes membenarkan pengendali makanan tidak membuat pemeriksaan perubatan dan mendapatkan vaksin bekerja di premis dikesan dalam operasi tersebut.
“Kita juga mengesan masing-masing satu kes tidak mendaftar premis makanan dengan Kementrian Kesihatan, tidak membuat pemeriksaan kesihatan pengendali makanan untuk mendapatkan vaksin dan tidak melindungi makanan yang sedia dimakan.
“Oleh itu, pemilik premis makanan yang didapati tidak mematuhi elemen-elemen penting kebersihan akan diberi bimbingan bagi meningkatkan tahap kebersihan premis mereka,” katanya.
Menurut Zaini, semua pemilik dan pengendali makanan perlu bertanggungjawab memastikan premis mereka berada dalam keadaan bersih pada setiap masa.
Tambahnya, sekiranya pemilik premis masih tidak mematuhi arahan tindakan pembetulan pada lawatan berikutnya, penutupan premis akan dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983. – KOSMO! ONLINE