fbpx

Kes denggi diramal cecah rekod tertinggi tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang kakitangan perubatan melakukan semburan kabus di sebuah kawasan perumahan di Lima, Peru pada 12 Mei lalu. - AFP

GENEVA, Switzerland – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran kes demam denggi boleh mencapai rekod tertinggi tahun ini dengan sebahagiannya berpunca daripada pemanasan global dan perubahan iklim, lapor akhbar New York Post kelmarin.

Memetik Reuters, kadar wabak tersebut kini didapati bertambah di seluruh dunia dengan kes dilaporkan sejak 2000 meningkat lapan kali ganda, menjadi 4.2 juta kes pada 2022.

“Eropah melaporkan lonjakan kes manakala Peru mengisytiharkan darurat kesihatan di kebanyakan wilayahnya,” lapor agensi berita tersebut.

WHO sebelum ini menyenaraikan demam denggi sebagai salah satu daripada 10 ancaman utama kepada kesihatan global pada 2019.

Kira-kira separuh penduduk dunia atau sekitar empat bilion orang tinggal di tempat yang berisiko menularnya demam denggi dengan kira-kira 400 juta individu dijangkiti wabak tersebut setiap tahun.

“Denggi kini turut menular di kawasan-kawasan bandar di mana ia tidak wujud sebelum ini,” kata pakar daripada Fakulti Perubatan Universiti Cayetano Heredia di Peru, Profesor Madya Dr. Coralith Garcia.

Pakar-pakar menyalahkan suhu lebih panas dan peningkatan hujan yang menjadi penyebab kepada lonjakan wabak denggi.

Namun di Lima, Peru, yang merupakan bandar raya gurun kedua terbesar di dunia, kes demam denggi mencatatkan peningkatan kerana ia mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi sehingga memudahkan wabak itu tersebar.

“Peru mempunyai kadar kematian Covid-19 antara tertinggi di dunia dan kini, ramai pesakit mati akibat demam denggi,” kata Garcia.

Pada 11 Julai lalu, syarikat farmaseutikal dari Jepun, Takeda secara sukarela menarik balik permohonannya kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) bagi vaksin demam denggi di Amerika Syarikat (AS). 

Ia dilakukan selepas agensi pengawal selia itu meminta lebih banyak data yang tidak dapat disediakan oleh ujian perlindungan penyakit itu ketika ini, demikian menurut satu kenyataan akhbar.

Vaksin demam denggi daripada Takeda telah pun diluluskan di beberapa lokasi endemik dan bukan endemik seperti Kesatuan Eropah (EU), Britain, Brazil, Argentina, Indonesia dan Thailand.

Sementara itu di AS, kebanyakan pesakit didakwa dijangkiti demam denggi selepas melancong ke negara-negara lain sebelum merebak di beberapa negeri ekoran iklim panas dan lembap seperti Florida, Hawaii, Texas dan Arizona.

Demam denggi disebarkan oleh gigitan nyamuk Aedes yang menggigit secara amnya pada siang hari, demikian menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Wabak itu menjadi endemik di lebih 100 buah negara di rantau WHO di Afrika, Amerika, Mediterranean Timur, Asia Tenggara dan Pasifik Barat.

Amerika, Asia Tenggara dan Pasifik Barat adalah yang paling teruk terjejas dengan benua Asia merangkumi sekitar 70 peratus daripada beban penyakit itu secara global. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI