KULIM – Seorang juruteknik maut selepas disengat tebuan ketika melakukan tugas di sebuah pencawang telekomunikasi setinggi 30 meter di Felda Gunung Bonsu, Karangan, di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 1.30 petang, semalam, lelaki berusia 30 tahun itu meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Kulim kira-kira pukul 12.10 tengah malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, kira-kira pukul 1.30 petang semalam polis menerima laporan dari seorang lelaki yang memaklumkan rakan setuganya disengat tebuan.
Katanya mangsa yang berkerja sebagai juruteknik telah di sengat tebuan semasa membuat kerja baik pulih kerosakan pencawang komunikasi di Felda Gunung Bongsu
“Pada awalnya mangsa telah di bawa ke Klinik Kesihatan Karangan untuk rawatan awal. Bagaimanapun mangsa didapati mengalami keadaan kesihatan yang lemah dan dibawa ke Hospital Kulim mengunakan ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Redzuan, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 12.10 tengah malam semalam dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan sengatan lebah.
“Tiada unsur jenayah dan kes disiasat sebagai kematian mengejut,jenazah mangsa telah diserahkan kepada waris dan akan dikembumikan di Alor Setar,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE