KELAB bola sepak DRB-Hicom (DRB-Hicom FC) akan memberi fokus kepada usaha mencungkil bakat dalam kalangan kakitangan dan peringkat akar umbi ketika ini berbanding hasrat untuk kembali dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).
Presiden DRB-Hicom FC, Mahmood Razak Bahman berkata, pasukan mahu memberikan tumpuan dalam membina satu ekosistem komprehensif dengan membina akademi di peringkat akar umbi buat anak-anak kakitangan untuk belajar sukan bola sepak.
“DRB-Hicom FC ketika ini masih lagi bersaing pada Liga Kuala Lumpur. Meskipun ini adalah liga amatur, saya percaya sukan adalah landasan terbaik untuk mencapai kejayaan.
“Buat masa ini, fokus kami adalah untuk mencipta satu ekosistem baharu agar anak-anak kakitangan dapat belajar teknik bola sepak. Malah, hampir 80 peratus pemain kami juga dalam kalangan kakitangan syarikat.
“Mungkin kita tidak akan sertai Liga M dalam masa terdekat atau tempoh 10 tahun lagi kerana kekangan tertentu dan kita akan fokus dengan platform sedia ada,” katanya selepas Majlis Penyampaian Hadiah Liga Fantasi Kosmo! 2022/2023 di Ibu Pejabat Kosmo!, Petaling Jaya semalam.
Sebagai rekod, skuad DRB-Hicom FC yang ditubuhkan pada 2008 pernah mewarnai kancah Liga M dengan bersaing pada Liga Premier sebelum mengambil keputusan menarik diri pada tahun 2016.
Selepas itu, pasukan yang terkenal dengan gelaran The Great Bees ini dilihat bersaing ‘di bawah radar’ dengan menyertai saingan peringkat komuniti seperti Liga Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Mahmood mengesahkan pihak kelab sedang giat meneliti pemain untuk memantapkan pasukan menjelang saingan liga yang akan bermula September depan.
“Kita telah membuat penelitian pemain baharu sejak bulan lepas dan bermula Ogos, kita akan buat latihan intensif. Sasaran peribadi sudah tentu saya harap pasukan dapat menjulang satu trofi musim baharu nanti,” katanya.