ALOR SETAR – Seorang buruh kontrak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan merogol anaknya dalam kejadian antara Disember 2016 hingga Februari 2017.
Tertuduh yang berusia 52 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas tiga pertuduhan berkenaan dibacakan berasingan di hadapan Hakim Zaihan Mohamad Ali.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol anaknya yang berusia 16 tahun ketika itu di bilik air rumah mereka di sebuah kampung di Pendang, dekat sini pada pukul 2.30 petang, Disember 2016.
Sementara bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama di bilik tidur rumah berkenaan pada pukul 4 petang, Disember 2016.
Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa merogol remaja berkenaan di bilik tidur di lokasi rumah sama pada 9 pagi, Februari 2017.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 27 Ogos sebagai tarikh sebutan setelah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM18,000 bagi tiga pertuduhan tersebut.-KOSMO! ONLINE