fbpx

Bantuan khas tanda komitmen awal kerajaan semak gaji penjawat awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan

PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan pemberian bantuan khas penghargaan RM300 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah serta bantuan RM200 kepada pesara merupakan komitmen awal kerajaan dalam usaha menyemak semula gaji perkhidmatan awam.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, pemberian tersebut adalah manifestasi penghargaan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada sumbangan penjawat awam terhadap kemajuan negara.

“Komitmen Perdana Menteri untuk menyemak semula skim gaji perkhidmatan awam amat dihargai oleh penjawat awam. Sebagai penjawat awam, Cuepacs dan seluruh warga perkhidmatan awam akan terus berusaha gigih untuk menyokong hasrat kerajaan melaksanakan pembaharuan dalam urusan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Cuepacs yakin usaha dan inisiatif lain yang dirancang oleh Perdana Menteri ketika ini akan memberi manfaat kepada rakyat. Beri ruang dan masa yang cukup kepada YAB Perdana Menteri memacu negara ke arah yang lebih baik,” jelasnya hari ini.

Dalam masa yang sama, katanya, Cuepacs berharap kerajaan tidak melengahkan kajian semakan gaji perkhidmatan awam seperti yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri sebelum ini.

“Begitu juga janji Perdana Menteri mengenai pelarasan semula elaun-elaun tetap yang patut diterima oleh penjawat awam.

“Usaha Perdana Menteri ini dapat memastikan manfaat tersebut dinikmati oleh penjawat awam yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup. Apatah lagi sistem saraan perkhidmatan awam ketika ini masih menggunakan Sistem Saraan Malaysia yang dilaksanakan sejak 1 November 2002 dan hanya ditambah baik sahaja,” ujarnya.

Justeru, tambah Adnan, sudah tiba masanya skim gaji itu disemak semula mengikut persekitaran ekonomi semasa agar ia relevan dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI