PETALING JAYA – Seramai 454 penuntut dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerima Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin secara keseluruhan berjumlah RM227,000 sekali gus meringankan beban kewangan mereka.
Menerusi bantuan yang mula diperkenalkan sejak tahun lalu itu, setiap pelajar terbabit yang terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan menerima bantuan sebanyak RM500 secara ‘one off’ yang telah disalurkan ke dalam akaun bank mereka.
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam kenyataannya memaklumkan, penyampaian Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin diadakan UUM pada 16 Julai lalu melibatkan sumbangan berjumlah RM81,500 kepada seramai 163 pelajar.
“Program Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin di UiTM Shah Alam pula melibatkan bantuan kepada 291 pelajar dengan peruntukan sebanyak RM145,500,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, penyampaian bantuan di kedua-dua universiti berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim.
Sementara itu, Norliza berkata, dalam usaha meningkatkan akses pendidikan kepada masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang, PTPTN telah mengadakan pelbagai program berimpak tinggi bagi membolehkan masyarakat terus mendapat bantuan sewajarnya.
“Justeru, program Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin diadakan untuk menyalurkan bantuan sara hidup kepada pelajar yang kurang berkemampuan bagi meringankan beban kewangan pelajar dalam tempoh pengajian di universiti.
“Saya berharap sumbangan ini dapat membantu mengurangkan beban kewangan pelajar di institusi pengajian tinggi.
“Jadikan bantuan ini sebagai pendorong untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai keputusan cemerlang sekali gus mendapat pekerjaan yang baik serta dapat mengubah nasib keluarga untuk menikmati kehidupan lebih selesa,” katanya. – KOSMO! ONLINE