fbpx

Wujudkan agensi penguat kuasa, pantau penganjuran konsert – MHO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MHO, MCCC gesa kerajaan wujudkan agensi penguat kuasa bagi memantau penganjuran konsert artis luar negara.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dan Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) menggesa kerajaan menubuhkan agensi penguat kuasa khas bagi memantau penganjuran konsert pada masa akan datang.

Ia susulan impak buruk hasil daripada kelakuan jelik vokalis utama kumpulan rock British, The 1975 yang bercumbu dengan pemain bass, ketika Good Vibes Festival 2020 di Litar Antarabangsa Sepang, Jumaat lalu.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya serta MCCC mencadangkan supaya pasukan petugas khas dikalangan penguatkuasa seperti polis diwujudkan untuk memantau persembahan artis luar yang membuat persembahan di negara.

“Kumpulan rock British, The 1975 cuba memprovokasi budaya ketimuran di negara ini dan merupakan kumpulan songsang yang tidak layak dipopularkan.

“Ahli kumpulan ini sepatutnya ditangkap dan dituduh di mahkamah kerana telah melakukan pelakuan tidak senonoh dan biadab serta melanggar tata budaya tempatan selain tidak menghormati sensitiviti rakyat di negara ini.

“Tindakan menyenarai hitam kumpulan tersebut adalah tindakan yang bagus namun tidak memadai, tindakan perlu diambil. Justeru, kami juga terkilan mengapa kumpulan ini dibiarkan keluar dari Malaysia pada pukul 6 pagi,” ujarnya ketika sidang akhbar di Nasken Cofee Sungai Besi, di sini, hari ini.

Jelasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan pihaknya menjalankan siasatan di bawah Seksyen 504, Seksyen 509 dan Seksyen 377D Kanun Keseksaan.

“Kita mahu mencadangkan supaya kerajaan melakukan semakan latar belakang sebelum membenarkan artis masuk ke dalam negara. Sepatutnya, Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL) perlu buat tapisan,” katanya.

Mengulas lanjut perkara berkenaan, Presiden MHO dan MCCC, Tan Sri Musa Hassan berkata, Malaysia sememangnya mengalu-alukan kedatangan orang asing bagi menyemarakkan pertukaran budaya namun perlu menyemak terlebih dahulu latar belakang mereka yang mungkin memberi ancaman kepada negara.

“Saya juga hairan tindakan terhadap mereka tidak diambil lebih awal. Ingin saya bangkitkan kepada rakyat Malaysia bahawa polis perlu maklumat pertama yang boleh membantu tindakan segera daripada polis.

“Maklumat pertama boleh dibuat oleh mana-mana orang untuk pihak polis jalankan siasatan. Masyarakat perlu tahu bagaimana cara polis boleh bertindak cepat dan tegas apabila terdapat individu melakukan jenayah,” tegasnya.

Tambahnya lagi, sebarang tindakan mahupun pertuduhan terhadap kumpulan terbabit bakal menjadi lebih sulit kerana ia bergantung kepada undang-undang di negara mereka.

“Untuk menghadapi pertuduhan, undang-undang di negara kita perlu sama dengan undang-undang negara mereka. Tapi kalau undang-undang kita tidak menjadi kesalahan di sana, maka susah untuk kita bawa balik ke sini.

“Jadi di sini, ini adalah satu tauladan buat kita semua dan tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang. Kita perlu beri kerjasama dan bantu pihak polis,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI