fbpx

Warga asing dalangi sindiket curi motosikal, jual semula pada harga RM300

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Fakhruddin menunjukkan pelekat motosikal yang digunakan sindiket pada motosikal curi ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya, hari ini - Foto FAUZI BAHARUDIN

PETALING JAYA – Kegiatan dua lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan aktif mencuri motosikal sejak dua bulan lalu akhirnya terbongkar selepas kesemua mereka ditahan dalam beberapa siri tangkapan sejak Jumaat lalu.

Difahamkan, sindiket yang aktif di Kajang dan Petaling Jaya ini menjadikan warga asing yang tinggal di kawasan ladang sebagai pelanggan motosikal curi bermula harga RM300 hingga RM700 setiap satu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada seorang lelaki tempatan yang kehilangan motosikalnya di Apartment Lestari, di sini, 17 Julai lalu.

Menurut beliau, sejurus menerima maklumat, sepasukan anggota membuat tangkapan dua lelaki warga asing berusia 35 dan 33 tahun di sebuah stesen minyak, Bandar Sri Damansara, di sini, Jumaat lalu.

“Tangkapan pukul 12.05 tengah hari itu berjaya merampas pelbagai peralatan digunakan untuk mencuri motosikal seperti sebilah pisau, beberapa cukai jalan motosikal, satu keping pelekat motosikal, telefon bimbit, pengering rambut untuk membantu siasatan.

“Mereka akan mencuri apa-apa sahaja motosikal kemudian diubah warna dan nombor pendaftaran sebelum dijual kepada pekerja warga asing untuk kegunaan di kawasan kebun dan ladang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Tambah beliau, hasil soal siasatan kedua-dua suspek pada hari yang sama, seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun berjaya ditahan di sebuah pondok di Semenyih, Kajang.

Kata Mohamad Fakhruddin, tangkapan sekitar pukul 1.45 petang terhadap lelaki berusia 34 tahun dipercayai rakan kongsi sindiket itu berjaya merampas tujuh biji motosikal.

“Antara motosikal dirampas adalah Yamaha Solariz, Yamaha Ego S, Modenas Kriss, Yamaha 135 Lc, Honda Dash dan Lagenda 115Z dan sebuah motosikal yang sudah dileraikan.

“Semakan mendapati dua individu daripada negara jiran itu memasuki Malaysia sejak tahun 2016 dan tidak mempunyai pekerjaan yang tetap,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohamad Fakhruddin memaklumkan kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula Sabtu lalu hingga semalam sebelum disambung reman polis Kajang untuk siasatan lanjut.

“Kesemua mereka disiasat dibawah seksyen 326, 379A, 420 dan 447 Kanun Keseksaan serta enam kes jenayah narkotik yang disiasat dibawah seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Hasil tangkapan itu, pihak polis berjaya menyelesaikan tujuh kes kehilangan motosikal dengan anggaran kerugian keseluruhan sebanyak RM35,000,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI