LONDON – Seorang wanita meluahkan rasa marah selepas mendapati tiga potong piza yang dipesannya hilang, dipercayai dimakan oleh penghantar makanan, lapor portal berita MailOnline semalam.
Kellie Lewis dari Wiltshire, Britain, memesan piza bersaiz besar dari sebuah restoran makanan segera di Swindon untuk dimakan bersama suaminya pada waktu malam.
Namun, selepas membuka kotak, dia berasa terkejut apabila melihat tiga potong piza telah hilang.
“Saya membayar mahal untuk piza ini. Harganya adalah £30 (RM176.31),” ujarnya,
Kellie kemudian menghubungi restoran itu selain menghantar gambar piza tersebut melalui e-mel bagi mengadu tentang masalahnya tetapi dia diberitahu bahawa makanan tersebut berada dalam keadaan sempurna ketika disiapkan.
Jurucakap restoran tersebut kemudian mendedahkan masalah itu telah diselesaikan dengan pelanggan (Kellie) menerima penyelesaian secara ‘muhibah’.
Kellie mengesahkan telah menerima baucar sebagai ganti rugi tetapi berkata bahawa dia berasa ragu-ragu untuk berbelanja lagi di restoran tersebut. – Agensi