SEREMBAN – Bekas guru dan ustazah kepada salah seorang mangsa kes amang seksual melibatkan Pencetus Ummah (PU) Azman memberitahu mahkamah tertuduh pernah melakukan seks oral terhadap mangsa.
Wanita berusia 46 tahun yang merupakan saksi ketujuh perbicaraan hari ketiga berkata perkara demikian di hadapan Hakim Datin Surita Budian di Mahkamah Sesyen di sini hari selepas diceritakan sendiri oleh mangsa yang merupakan bekas muridnya berusia 18 tahun
“Seingat saya apa yang mangsa cerita pada saya, PU Azman yang meminta melakukan perbuatan tidak senonoh.
“Selain itu mangsa juga berkata yang dia diminta untuk bercium dengan PU Azman,” katanya.
Jelas wanita itu, dia lebih mempercayai apa yang diberitahu mangsa berbanding PU Azman kerana anaknya turut menjadi mangsa perlakuan seksual itu ketika mereka berada di Tingkatan Lima iaitu tahun lalu.
“Mangsa tidak pandai berbohong dengan gurunya dan yakin apa yang diceritakannya adalah betul.
“Sebab itu, saya rasa bertanggungjawab untuk mengambil berat kes berkenaan selain dia yang memperkenalkan mangsa dengan tertuduh,” katanya.
Dalam pada itu, saksi ketujuh itu juga mendedahkan anaknya menjadi mangsa tertuduh ketika penceramah terbabit datang ke rumahnya di Klang, Selangor.
“Ketika kejadian saya ada di rumah anak saudara kemudian anak beritahu tentang kejadian seksual berlaku (dengan PU Azman) dan mendesak saya balik.
“Pada mulanya, saya tidak percaya apa dikatakan oleh anak saya dan meminta dia bertenang dan mendiamkan diri,” katanya.
Bagaimanapun kata saksi itu, berbanding PU Azman atau Azman Syah Alias, 42, dia lebih mempercayai anaknya dan disebabkan itu membuat keputusan untuk terus pulang ke rumah dan cuba mengumpulkan bukti dan terkejut apabila mengetehui anak muridnya turut menjadi mangsa
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi, Husni Fairos Ramly dan Goh Hsiao Tung manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad, Fahmi Adilah dan Norman Mohd Nasir.
Seramai 26 orang saksi dijangka akan dipanggil sepanjang kes perbicaraan tersebut yang bermula pada 24 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE