MELAKA – Seorang pengusaha kedai makan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal dengan menunjukkan isyarat gaya memegang kemaluan terhadap seorang remaja, Jun lalu.
Tertuduh, Ismadi Ismail, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual bukan fizikal iaitu dengan cara menunjukkan isyarat gaya memegang kemaluan terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun, yang juga pekerjanya.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 6.45 petang di dalam bilik di sebuah rumah di Taman Jasin Height dalam daerah Jasin pada 14 Jun lalu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan boleh juga didenda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.
Difahamkan mangsa merupakan saudara jauh tertuduh dan menetap bersamanya di rumah berkenaan sepanjang bekerja di restoran milik lelaki tersebut.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak menawarkan sebarang jaminan, namun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara pihaknya mencadangkan RM30,000 diberikan.
Beliau turut memohon agar syarat tambahan dikenakan iaitu tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan serta pasport diserahkan kepada mahkamah.
Peguam Chua Yong Yi yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnnya telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dan tidak lagi berhubung dengan mangsa, selain menanggung ibu berusia 89 tahun.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, Elesabet kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dan bersetuju dengan semua syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan. Beliau turut menetapkan tarikh 12 September depan sebagai sebutan semula kes.- KOSMO! ONLINE