MANILA, Filipina – Ribut kuat melanda utara Filipina hari ini dengan meragut nyawa sekurang-kurangnya seorang, menumbangkan pokok, memutuskan bekalan elektrik dan membawa hujan lebat sehingga memaksa beribu-ribu penduduk berpindah.
“Taufan Doksuri membawa kelajuan angin maksimum 175 kilometer sejam di sepanjang perairan Pulau Fuga, utara pulau Luzon,” kata agensi cuaca negara dalam kemas kini terbaharunya.
Agensi itu memberi amaran ‘keadaan yang ganas dan mengancam nyawa’ ketika angin kencang dan hujan lebat melanda wilayah berpenduduk.
Doksuri bertukar menjadi taufan besar ketika ia melanda Lautan Pasifik kelmarin, namun dilaporkan lemah semasa menghampiri Filipina.
“Angin dan hujan sangat kuat sehingga saya tidak dapat tidur lena. Apabila bangun daripada tidur hari ini, saya melihat pokok tumbang dan dahan patah di luar rumah.
“Kami tidak mempunyai bekalan elektrik,” kata seorang pesara kerajaan di pantai Pasuquin, wilayah Ilocos Norte.
“Kira-kira 12,000 penduduk di wilayah Cagayan dipindahkan termasuk 431 orang di kepulauan Babuyan berikutan amaran ribut setinggi 3 meter,” kata pegawai bencana wilayah, Ruelie Rapsing.
Banjir juga dilaporkan berlaku di kawasan perbandaran pantai Lallo, Pamplona dan Claveria. – AFP