PEMAIN import Selangor FC, Noor Al Rawabdeh mengakui motivasi pasukan ketika ini cukup baik menjelang perlawanan getir Liga Super apabila dijadualkan menentang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Sabtu ini.
Sebagai rekod, skuad Gergasi Merah berjaya meraih kemenangan kedua berturut-turut dalam kancah liga selepas menjinakkan Sabah FC 1-0 pada perlawanan di Stadium MB Petaling Jaya, Ahad lepas.
Menurut Al Rawabdeh, fokus pasukan ketika ini sudah pasti tertumpu kepada pertemuan menentang skuad Harimau Selatan dan barisan pemain harus bekerja keras sepanjang minggu untuk berikan yang terbaik.
“Semua pemain sangat gembira dengan kemenangan yang diraih sebelum ini dan motivasi pasukan cukup berkobar dalam usaha mengekalkan kedudukan kedua Liga Super.
“Namun, tumpuan selepas ini adalah perlawanan menentang JDT dan ia aksi yang cukup getir. Sama seperti perlawanan lain, kita tetap akan hadir dengan mensasarkan tiga mata.
“Apa yang pasti, persiapan perlu dibuat dan pemain kena fokus sepanjang sesi latihan minggu ini sekiranya mahu meraih keputusan positif,” kata pemain antarabangsa Jordan itu.
Skuad Merah Kuning telah tewas dua kali kepada JDT tahun ini dengan kekalahan 0-4 pada saingan liga di Stadium MB Petaling Jaya pada awal musim.
Selepas itu, JDT terus mempamerkan belang dengan merekodkan kemenangan 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada aksi separuh akhir Piala FA bulan lepas.