fbpx

Sami, isteri dan ibu didenda masing-masing RM2,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH bersama peguamnya di luar Mahkamah di Bentong hari ini.

BENTONG – Seorang sami bersama isteri dan ibunya dijatuhkan hukuman denda masing-masing sebanyak RM2,000 atau penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah membuat laporan dan keterangan polis palsu berkaitan kes samun melibatkan keluarga tertuduh pada 17 Julai lalu.

Tertuduh R. Velayuthan,47 bersama isterinya, G.Gunawathi,42, dan ibunya, C.Parvathy,83, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Qasiratul Jannah Usmani Othman.

Mengikut kertas pertuduhan tertuduh pertama iaitu Velayuthan didakwa membuat laporan polis palsu di Balai Polis Karak pada pukul 4.53 petang pada 17 Julai lalu.

Tertuduh kedua iaitu Gunawathi dan tertuduh ketiga Parvathy pula didakwa memberikan keterangan palsu pada 17 Julai lalu kepada pegawai penyiasat Inspektor Noor Farahin Mohd Dahlan di Balai Polis Karak.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa telah memperdaya penjawat awam menggunakan kuasanya yang sah di sisi-sisi undang-undang yang mana laporan tersebut boleh mendatangkan bencana atau kegusaran pada mana-mana orang.

Dengan itu tertuduh telah melakukan kesalahan dan boleh dihukum di bawah seksyen 182 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S.Punitha manakala tertuduh diwakili peguam M.Kabilan.

Terdahulu dalam prosiding, Punitha meminta hukuman setimpal dikenakan kepada ketiga-tiga tertuduh sebagai pengajaran dan tauladan kepada tertuduh dan juga orang ramai.

Kabilan kemudiannya meminta hukuman diringankan kerana ketiga-tiga tertuduh tiada rekod jenayah dan memberikan kerjasama yang baik kepada polis serta mengaku bersalah di mahkamah.

Katanya, tertuduh pertama yang telah meletak jawatan sebagai sami menanggung seorang isteri dan dua anak berumur 14 tahun dan 15 tahun termasuk seorang anak orang kelainan upaya (OKU) dan seorang ibu yang sudah tua.

Tambahnya terduduh kedua dan ketiga pula hanya memberikan keterangan polis berdasarkan maklumat yang diberikan anaknya iaitu tertuduh pertama.

Majistret memutuskan ketiga-tiga tertuduh dikenakan denda masing-masing sebanyak RM2,000 atau penjara selama tiga bulan.

Ketiga-tiga tertuduh dibebaskan selepas membayar wang jaminan.

Pada 17 Julai lalu polis menerima aduan mengenai kejadian rompakan yang berlaku di kawasan Taman Hijau, Karak yang mana mangsa yang merupakan suri rumah telah disamun tiga lelaki tidak dikenali yang melarikan sejumlah barang kemas milik mangsa.

Hasil siasatan awal polis mendapati suami mangsa menjadi dalang utama dalam kes rompakan itu semata-mata bagi menuntut insurans. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI